Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Maritim Malaysia tahan bot nelayan tempatan tarik pukat di kawasan larangan

Read Time:1 Minute, 30 Second

KOTA KINABALU :  Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah bot nelayan tempatan yang disyaki menjalankan aktiviti menarik pukat di kawasan larangan dalam satu operasi penguatkuasaan di perairan Kota Kinabalu, lewat malam tadi.

Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid @ Razali berkata, bot berkenaan dikesan sedang menjalankan aktiviti menarik pukat pada kedudukan kira-kira 1.86 batu nautika dari daratan, iaitu kurang daripada jarak minimum tiga batu nautika yang dibenarkan mengikut syarat sah lesen vesel perikanan.

Menurut beliau, pemeriksaan ke atas bot berkenaan mendapati ia dikendalikan oleh tujuh kru berusia antara 20 hingga 60 tahun yang terdiri daripada seorang warganegara Malaysia, empat warganegara Indonesia serta dua individu yang memiliki dokumen pengenalan diri yang diragui.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati bot berkenaan melakukan kesalahan melanggar syarat sah lesen di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menjalankan aktiviti menarik pukat di kawasan larangan.

“Selain itu, dua individu terbabit turut disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/1963 kerana memiliki dokumen pengenalan diri yang diragui,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, bot berkenaan bersama tujuh kru, peralatan menangkap ikan serta hasil tangkapan telah ditahan dan diiring ke jeti Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut.

Katanya, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM450,000 dan kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/1963.

Dalam pada itu, Mohd Khairulanuar berkata, Maritim Malaysia akan terus mempergiat rondaan dan operasi penguatkuasaan di perairan Sabah bagi membanteras aktiviti perikanan yang melanggar syarat pelesenan serta kesalahan lain demi memastikan kelestarian sumber perikanan negara dan keselamatan perairan sentiasa terpelihara.

Beliau turut menggesa orang ramai serta komuniti maritim yang mempunyai maklumat berkaitan sebarang aktiviti mencurigakan di perairan supaya menyalurkannya kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan menerusi talian 088-387774 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera.

LEAVE A RESPONSE