“Pucuk Dicita, Ulam Mendatang” — Anwar Sambut Cabaran Dedah RCI Tabung Haji, Arah Siasatan Menyeluruh
Read Time:3 Minute, 1 Second
LABU — Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan desakan pihak tertentu supaya kerajaan berani mendedahkan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Tabung Haji sebagai satu cabaran yang tepat pada masanya, sebelum mengingatkan bahawa individu yang pernah dihina, dipukul dan dipenjarakan kini kembali sebagai Perdana Menteri.
Anwar berkata kerajaan tidak gentar dengan cabaran supaya dakwaan salah urus dan penyelewengan dalam Tabung Haji dibongkar, malah menyambutnya dengan keputusan untuk mendedahkan laporan RCI itu sepenuhnya kepada umum.
“Belum sempat kita memberikan cadangan untuk menyebarkan laporan itu, ada orang cabar, kalau berani bongkar.
“Saya kata terima kasih. Pucuk dicita, ulam mendatang. Itu yang kita harapkan,” katanya ketika berucap pada program kempen Pakatan Harapan di Negeri Sembilan.
Menurut Anwar, laporan berkenaan perlu dibaca sendiri oleh rakyat kerana ia mengandungi dapatan serius berhubung pengurusan sebuah institusi yang menghimpunkan simpanan umat Islam bagi menunaikan ibadah haji.
Beliau mendakwa salah urus dan pelaburan bermasalah yang dikenal pasti melibatkan kerugian kira-kira RM12 bilion.
“Ini bukan masalah Cina, bukan masalah DAP. Ini masalah Melayu, Tabung Haji.
“Orang hendak pergi haji, kumpul wang berpuluh tahun, tetapi wang itu salah urus dan menyeleweng. Berapa rugi? Bukan RM1 bilion, bukan RM5 bilion, tetapi lebih RM12 bilion,” katanya.
Anwar berkata kerajaan turut mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Bank Negara Malaysia dan agensi berkaitan meneliti keseluruhan laporan itu bagi menentukan sama ada wujud pelanggaran undang-undang.
Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa kerajaan tidak akan mendahului proses siasatan atau menuduh mana-mana individu sebelum bukti diperoleh.
“Saya tidak kata siapa salah kerana saya tidak tahu. Biar siasatan berjalan. Tetapi bongkar semuanya sekali.
“Siapa yang didapati mengambil wang rakyat atau menyalahgunakan kuasa, jangan dilindungi,” katanya.
Mengulas persoalan mengapa laporan itu tidak didedahkan sebaik beliau mengambil alih pentadbiran pada 2022, Anwar berkata kerajaan pada ketika itu belum menerima taklimat lengkap daripada pihak RCI.
Selain itu, katanya, pengurusan Tabung Haji turut meminta supaya proses pemulihan institusi berkenaan dilaksanakan terlebih dahulu bagi mengelakkan keyakinan pendeposit terjejas.
“Kalau laporan dikeluarkan terlalu awal sebelum kita sempat membuat perubahan, orang mungkin hilang keyakinan dan mengeluarkan wang. Tabung Haji boleh berdepan keadaan lebih buruk.
“Sebab itu kita beri ruang untuk pulihkan dahulu. Selepas keadaan lebih baik, kita dedahkan sepenuhnya,” katanya.
Anwar berkata episod Tabung Haji menunjukkan rakyat perlu memilih pemimpin yang tidak menggunakan kuasa untuk memperkayakan diri, keluarga atau kroni.
Beliau turut menyentuh pengalaman peribadinya yang pernah dipukul, dimalukan, ditelanjangkan dan dipenjarakan ketika berdepan tekanan politik sebelum ini.
“Saya dipukul, diterajang, ditelanjangkan, dimalukan dan dipenjarakan hampir 10 tahun.
“Tetapi Allah takdirkan orang yang kamu hina, pukul dan telanjangkan itu sekarang kembali sebagai Perdana Menteri,” katanya.
Anwar berkata pengalaman itu menjadi peringatan kepadanya supaya tidak mengkhianati mandat rakyat atau menyalahgunakan kedudukan yang dimiliki.
“Saya mahu jaga amanah ini supaya rakyat tidak menyesal mempertahankan orang seperti saya.
“Jangan curi duit negara. Orang mahu maki, tidak mengapa. Yang penting kita bekerja dan menjaga amanah,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar turut membandingkan isu Tabung Haji dengan beban kewangan Felda yang menurutnya memerlukan kerajaan membayar kira-kira RM980 juta setahun akibat keputusan dan pengurusan terdahulu.
Katanya, kerajaan terpaksa mengambil alih tanggungan itu kerana peneroka tidak seharusnya dihukum atas kesalahan pengurusan.
“Yang mengurus orang lain, yang buat kerja tidak senonoh orang lain, tetapi peneroka pula hendak dipaksa membayar.
“Sebab itu kerajaan ambil keputusan menanggung hampir RM980 juta setahun untuk menyelamatkan Felda,” katanya.
Anwar berkata pendedahan laporan RCI Tabung Haji bukan bertujuan membalas dendam politik, sebaliknya memastikan institusi umat Islam tidak lagi diperlakukan sebagai alat untuk kepentingan pihak tertentu.
“Institusi Melayu dan Islam mesti dijaga dengan amanah, bukan sekadar dilaungkan dalam ceramah.
“Kalau benar mahu mempertahankan Melayu dan Islam, jangan sakau wang orang Melayu dan jangan rosakkan institusi umat Islam,” katanya.






