Read Time:3 Minute, 30 Second
Oleh Normimie Diun
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah terus memperkukuh usaha memulihara biodiversiti menerusi pelaksanaan strategi jangka panjang, pengiktirafan terhadap penyelidikan serta penggunaan teknologi digital bagi memastikan khazanah semula jadi negeri ini terus dipelihara secara lestari.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Datuk Dr. Ahamed Sade berkata, Sabah memiliki kekayaan flora, fauna dan ekosistem unik yang bukan sahaja menjadi kebanggaan rakyat negeri ini, malah merupakan aset strategik bernilai tinggi dari aspek ekonomi, saintifik dan sosial.
Katanya, biodiversiti Sabah menyediakan pelbagai perkhidmatan ekosistem penting seperti bekalan air bersih, sumber makanan, kawalan iklim, perlindungan daripada bencana alam serta sumber pendapatan kepada masyarakat dan komuniti tempatan.
“Sabah turut memainkan peranan penting dalam meletakkan Malaysia sebagai antara 17 negara megabiodiversiti dunia, selain menerima pelbagai pengiktirafan antarabangsa hasil usaha berterusan dalam pemuliharaan dan pengurusan sumber semula jadi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Hari Biodiversiti Sedunia 2026 Peringkat Negeri Sabah bertemakan Acting Locally for Global Impact (Tindakan Lokal, Impak Global), di sini, pada Selasa.
Menurutnya, antara pengiktirafan antarabangsa yang diterima Sabah ialah ‘Triple Crown’ UNESCO meliputi Tapak Warisan Dunia Taman Kinabalu, Rizab Biosfera Banjaran Crocker dan Geopark Global UNESCO Kinabalu.
Selain itu, negeri ini turut memiliki Tapak Ramsar Tanah Lembap Hilir Kinabatangan-Segama, Tapak Ramsar Tanah Lembap Kota Kinabalu, Rizab Biosfera Kinabatangan, Sugud Islands Marine Conservation Area (SIMCA) dan Hutan Simpan Pin Supu yang tersenarai dalam IUCN Green List, selain Kompleks Hutan DaMaI yang menjadi hab penyelidikan biodiversiti bertaraf dunia.
Dr. Ahamed berkata, komitmen kerajaan negeri turut diterjemahkan menerusi pelaksanaan Sabah Biodiversity Strategy 2024–2034 yang menjadi hala tuju pemuliharaan biodiversiti negeri bagi tempoh sedekad.
Beliau berkata, strategi itu berasaskan pendekatan saintifik, kolaboratif dan melibatkan seluruh masyarakat bagi menyokong aspirasi Sabah Maju Jaya 2.0, di samping memenuhi komitmen global di bawah Kunming-Montreal Global Biodiversity Framework, Convention on Biological Diversity serta Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
“Ini merupakan manifestasi sebenar tema sambutan tahun ini iaitu Acting Locally for Global Impact, di mana tindakan yang dilaksanakan di Sabah mampu memberi impak besar di peringkat global,” katanya.
Beliau turut mengumumkan pelancaran dua sistem digital baharu iaitu Sabah Biodiversity Access and Export Licence Application System (SaBAES) dan Sabah Traditional Knowledge Information System (SaTKIS).
Menurutnya, SaBAES dibangunkan bagi memudahkan permohonan lesen akses dan eksport sumber biologi secara dalam talian, manakala SaTKIS diwujudkan bagi melindungi, mendokumentasi dan mengurus pengetahuan tradisi berkaitan sumber biologi milik anak negeri serta komuniti tempatan supaya manfaat penggunaannya dapat dikongsi secara adil dan saksama.
Beliau berkata, sejak 2010, Pusat Biodiversiti Sabah telah melaksanakan sistem pelesenan akses dan eksport sumber biologi di bawah Enakmen Biodiversiti Sabah 2000, dengan jumlah permohonan lesen yang terus meningkat sekali gus membuktikan Sabah semakin menjadi tumpuan penyelidik tempatan dan antarabangsa dalam bidang biodiversiti.
Pada majlis sama, Dr. Ahamed turut mengucapkan tahniah kepada penerima Anugerah Penyelidikan Biodiversiti Terbaik Sabah 2025 yang merangkumi kategori Penyelidik Muda Berpotensi, Penyelidik Antarabangsa, Penyelidik Tempatan serta Anugerah Khas Juri.
Katanya, pengiktirafan itu mencerminkan komitmen Kerajaan Sabah dalam mengangkat penyelidikan sebagai pemacu utama usaha pemuliharaan biodiversiti, selain menghargai sumbangan penyelidik dalam memperkukuh asas saintifik bagi penggubalan dasar, perlindungan spesies dan pengurusan sumber semula jadi secara lestari.
Sementara itu, Pengarah Pusat Biodiversiti Sabah, Ken Kartina Khamis dalam ucapan alu-aluannya berkata, forum biodiversiti yang diadakan sempena sambutan berkenaan menjadi platform perkongsian ilmu mengenai penyelidikan, pemuliharaan spesies serta peranan komuniti dalam pengurusan sumber semula jadi.
Forum itu menampilkan tiga ahli panel iaitu Prof. Madya Dr. Juanita Joseph dari Institut Marin Borneo, Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang juga penerima Anugerah Penyelidikan Biodiversiti Terbaik Negeri Sabah 2024; Pegawai Penyelidik Pusat Penyelidikan Perhutanan Sepilok, Jabatan Perhutanan Sabah, Alviana Damit, yang terlibat dalam penemuan spesies baharu periuk kera endemik Sabah, Nepenthes pongoides; serta Dr. Ily Azzedine Alaia M.H. Subari dari Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan, UMS yang aktif dalam penyelidikan serta pemuliharaan fungi di Sabah.
Menurut Ken Kartina, forum berkenaan turut mengetengahkan kepentingan penglibatan masyarakat dan komuniti tempatan sebagai rakan strategik dalam usaha melindungi habitat serta memulihara spesies.
Beliau berkata, penglibatan aktif masyarakat di peringkat akar umbi membuktikan tindakan yang dilaksanakan di peringkat lokal mampu memberi impak besar terhadap pencapaian komitmen biodiversiti global.
“Forum ini diharap dapat meningkatkan kesedaran, menggalakkan kolaborasi dan memberi inspirasi kepada semua pihak untuk terus memainkan peranan dalam memelihara khazanah biodiversiti Sabah demi kesejahteraan generasi masa kini dan akan datang,” katanya.






