Read Time:1 Minute, 2 Second
TAWAU: Perodua Myvi dipandu warga emas lelaki merempuh sebuah premis perniagaan sebelum melanggar Toyota Innova di Batu 3, Jalan Apas, di sini, petang semalam (29 Sep).
Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, pemandu berusia 60 tahun berkenaan dipercayai tertekan pedal minyak ketika hendak keluar dari petak parkir selepas selesai mendapatkan rawatan di sebuah klinik berhampiran.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, siasatan awal mendapati Myvi berkenaan meluncur ke hadapan sebelum merempuh sebuah premis perniagaan.
“Dalam keadaan panik, pemandu cuba mengundurkan kenderaan sebelum melanggar sebuah Toyota Innova yang diletakkan berhampiran.
“Akibat kejadian, kedua-dua kenderaan mengalami kerosakan teruk,” katanya dalam kenyataan semalam.
Rosdi berkata, ujian saringan awal air kencing terhadap pemandu didapati negatif dadah, manakala ujian pernafasan turut dijalankan di Pejabat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Sarjan Mohd Hanafiah Mat Sari di talian 019-886 7715 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Justeru, Rosdi menasihatkan pengguna jalan raya supaya berhati-hati ketika mengendalikan pedal minyak dan brek serta memastikan gear berada pada kedudukan betul sebelum menggerakkan kenderaan. – SABAH MEDIA





