Read Time:2 Minute, 3 Second
KOTA KINABALU: Orang awam berpeluang mengikuti secara langsung rayuan Kerajaan Persekutuan berhubung isu pemberian khas 40 peratus hasil Sabah di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu pada 29 Oktober ini.
Prosiding di Mahkamah Rayuan yang dijadualkan bermula jam 9 pagi itu akan disiarkan secara langsung dari bilik mahkamah ke dewan persidangan di kompleks berkenaan yang boleh menempatkan sehingga 250 orang.
Ahli Dewan Undangan Negeri Dilantik, Roger Chin, berkata pengaturan yang difahamkan julung kali dilaksanakan itu membolehkan lebih ramai orang mengikuti prosiding menerusi siaran audiovisual litar tertutup tanpa perlu berada di dalam bilik mahkamah.
Beliau menjelaskan prosiding itu tidak akan disiarkan secara dalam talian, sebaliknya orang ramai hanya boleh mengikutinya dari dalam kompleks mahkamah.
Dalam kenyataan hari ini, Roger berkata pada prosiding sebelum ini, hanya sebilangan kecil orang dapat ditempatkan di dalam bilik mahkamah, menyebabkan ramai rakyat Sabah tidak berpeluang mengikuti prosiding ketika ia berlangsung.
Beliau turut mengiktiraf inisiatif Sabah Law Society (SLS) dalam mendapatkan akses awam yang lebih luas serta memuji mahkamah dan pentadbiran mahkamah kerana memudahkan pengaturan berkenaan.
Rayuan itu susulan keputusan Mahkamah Tinggi pada 17 Oktober tahun lalu dalam prosiding semakan kehakiman yang difailkan SLS berhubung pelaksanaan tanggungjawab dan kuasa perlembagaan yang diberikan kepada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah mengikut Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.
Kerajaan Persekutuan merayu sebahagian daripada keputusan itu, termasuk dapatan dan perintah Mahkamah Tinggi berkaitan tempoh 1974 hingga 2021.
Menurut Roger, Kerajaan Persekutuan berpendirian bahawa pemberian tetap yang perlu dibayar di bawah Perintah Kajian Semula Pertama kekal berkuat kuasa dari 1974 sehingga digantikan pada 2022.
SLS pula berpendirian bahawa kegagalan membuat kajian semula dan menyediakan hak perlembagaan Sabah bagi tempoh 48 tahun dari 1974 hingga 2021 adalah menyalahi undang-undang.
Kedua-dua pendirian itu, bersama persoalan mengenai bidang kuasa dan remedi yang diberikan Mahkamah Tinggi, akan dipertimbangkan oleh Mahkamah Rayuan.
Roger menggalakkan rakyat Sabah menghadiri prosiding itu, sambil menegaskan kehadiran mereka bukan bertujuan mendahului keputusan rayuan, memberi tekanan kepada mahkamah atau mempengaruhi keputusannya.
Katanya, mahkamah akan menentukan isu perundangan secara bebas, manakala kehadiran orang ramai membolehkan rakyat Sabah mengikuti hujahan dan memahami dengan lebih jelas persoalan perlembagaan yang dibangkitkan.
“Orang ramai yang mahu hadir digalakkan datang lebih awal bagi menjalani prosedur keselamatan.
“Kehadiran tertakluk kepada kapasiti dewan persidangan, keperluan keselamatan serta arahan mahkamah dan pentadbiran mahkamah,” katanya.
LINK BERITA TERDAHULU:





