Read Time:1 Minute, 18 Second
KOTA KINABALU: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan satu sebatan selepas mengaku bersalah mengambil syabu buat kali ketiga.
Tertuduh, Maarof Garib, 42, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Monica Linsua.
Mahkamah turut memerintahkan Maarof menjalani pengawasan selama tiga tahun selepas tamat menjalani hukuman penjara.
Mengikut pertuduhan Maarof telah menggunakan dadah berbahaya jenis Amphetamine dan Methamphetamine pada 9 Mei lalu lebih kurang pukul 4 petang, bertempat di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu, di sini.
Dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39C(1) akta sama serta dibaca bersama Seksyen 38B(1) kerana mempunyai dua sabitan lampau bagi kesalahan sama.
Mahkamah Majistret sebelum ini pada 21 Oktober 2015 menjatuhkan hukuman penjara empat bulan terhadap tertuduh bermula dari tarikh tangkap pada 7 September 2015, selain memerintahkannya menjalani pengawasan polis dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) selama dua tahun.
Pada 11 Oktober 2016, tertuduh sekali lagi dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan bagi kesalahan yang sama.
Bagi pertuduhan kali ini, Seksyen 39C(1) memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak melebihi tujuh tahun, serta sebatan tidak melebihi tiga kali, jika sabit kesalahan.
Seksyen 38B pula memperuntukkan bahawa seseorang yang disabitkan kesalahan hendaklah diletakkan di bawah pengawasan pegawai sebagaimana diperuntukkan di bawah Seksyen 2 Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan 1983) bagi tempoh tidak kurang dua tahun dan tidak melebihi tiga tahun selepas menjalani hukuman.
Maarof yang tidak bekerja tidak diwakili peguam, manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Fazriel Fardiansyah Abdul Kadir.






