Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Tun Fuad Stephens dikenang sebagai arkitek kemerdekaan Sabah

Read Time:1 Minute, 56 Second

KOTA KINABALU : Tokoh negarawan Allahyarham Tun Mohammed Fuad Stephens terus dikenang sebagai arkitek utama kemerdekaan Sabah dan merupakan antara tokoh penting dalam proses pembentukan Malaysia pada tahun 1963.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata, sumbangan beliau bukan sahaja tertumpu kepada pembangunan negeri, malah turut memberi kesan besar kepada penyatuan wilayah-wilayah yang membentuk sebuah negara bangsa Malaysia yang berdaulat.

“Sebagai Ketua Menteri Sabah yang pertama, beliau memainkan peranan penting dalam rundingan pembentukan Malaysia, khususnya dalam memastikan hak dan kepentingan Sabah terpelihara melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan tuntutan 20 Perkara Sabah.

“Pendekatan beliau ini memperlihatkan kebijaksanaan dalam mengimbangi aspirasi penyatuan dengan keperluan autonomi negeri, sekali gus meletakkan asas kepada pembinaan negara bangsa yang berlandaskan persefahaman, keadilan dan saling menghormati antara wilayah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Mengenang Negarawan Tun Fuad Stephens bertajuk “Legasi Huguan Siou Membina Negara Bangsa” sempena Sambutan Minggu Perpaduan 2026 Peringkat Kebangsaan di sini, pada Isnin.

Aaron berkata, Allahyarham Tun Fuad Stephens telah memperkenalkan nama ‘Sabah’ bagi menggantikan ‘Borneo Utara’ yang merupakan satu langkah penting bagi membentuk identiti politik dan jati diri negeri dalam Malaysia.

Beliau berkata, Allahyarham Tun Fuad turut memperjuangkan pengiktirafan Pesta Kaamatan sebagai perayaan rasmi, selain memberi perhatian terhadap pembangunan budaya dan pendidikan, termasuk usaha memperkukuh bahasa dan warisan masyarakat Kadazandusun.

“Beliau juga merupakan pengasas Pertubuhan Kebangsaan Kadazan Bersatu (UNKO) pada tahun 1961, sebuah wadah politik yang bertujuan menyatukan serta memperjuangkan nasib masyarakat Kadazandusun.

“Melalui platform ini, beliau membuka ruang suara kepada rakyat tempatan termasuk melalui penerbitan akhbar North Borneo News and Sabah Times, yang menjadi medium penting dalam menyampaikan aspirasi rakyat sebelum pembentukan Malaysia.

“Sebagai seorang ‘Huguan Siou’ atau Pemimpin Agung, Allahyarham Tun Fuad bukan sahaja dihormati oleh masyarakat Kadazandusun, malah menjadi jambatan perpaduan yang menyatukan pelbagai kaum di Sabah serta menghubungkan Sabah dengan Semenanjung dan Sarawak.,” katanya.

Sementara itu, Aaron berkata, gelaran itu melambangkan kepercayaan tinggi masyarakat terhadap kepimpinan beliau yang berteraskan integriti, keberanian dan keikhlasan dalam membina keharmonian tanpa mengira latar kaum, budaya mahupun agama.

“Beliau juga merupakan tokoh yang sentiasa menekankan bahawa perpaduan bukan sekadar slogan, tetapi satu amanah yang perlu diusahakan secara berterusan.

“Baginya, pembinaan masyarakat harmoni hanya dapat dicapai melalui persefahaman, penerimaan dan rasa hormat dalam kalangan semua kaum. Nilai inilah yang menjadi asas penting kepada pembentukan negara bangsa Malaysia yang bersatu dalam kepelbagaian,” katanya. – SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE