Read Time:1 Minute, 33 Second
KOTA KINABALU: Sabah menunjukkan pengurangan sebanyak 5.9 peratus jumlah penagih yang dikesan pada tahun lalu iaitu seramai 8,665 orang berbanding 9,607 orang pada tahun 2024.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Sabah turut mencatatkan kadar terbaik seluruh negara dengan merekodkan kadar penagih dan penyalah guna dadah serta bahan seramai 230 orang pada tahun lalu.
“Ini menunjukkan keberkesanan tindakan bersepadu semua pihak dalam membendung penawaran dan permintaan terhadap dadah dan bahan di negeri Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) Sabah di Menara Kinabalu di sini pada Isnin.
Hajiji turut mengucapkan tahniah kepada pihak Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) atas usaha dalam memperkasa komuniti dipelbagai peringkat melalui pendekatan pencegahan dadah sehingga ke peringkat akar umbi.
“Saya amat berterima kasih dengan kesungguhan pihak AADK menyantuni komuniti Pulau Banggi di Kudat baru-baru ini sempena Program Jerayawara Jelajah Aspirasi Bebas Dadah bersama Skuad Antidadah 2 Roda,” katanya.
Beliau turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) kontinjen Sabah atas kejayaan rampasan dadah secara besar-besaran melalui Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sabah baru-baru ini.
“Ini menunjukkan kesungguhan tindakan membanteras penyeludupan dan pengedaran dadah di negeri ini sentiasa menjadi keutamaan PDRM selari dengan aspirasi Kerajaan Negeri Sabah.
“Semua pencapaian ini adalah usaha gigih yang tidak pernah mengenal erti putus asa dalam memerangi ancaman dadah yang masih merupakan musuh nombor satu negara,” katanya.
Hajiji berkata Kerajaan Negeri sentiasa berdiri teguh di belakang usaha membanteras ancaman dadah secara menyeluruh, sekaligus memastikan keselamatan, keharmonian dan kesejahteraan rakyat di bumi Sabah terus terpelihara.
“Demi merealisasikan aspirasi Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ), Kerajaan Negeri Sabah sentiasa menyokong segala usaha dalam merealisasikan agenda aspirasi bebas dadah bagi mencapai Dadah Terkawal 2030,” katanya.
Pada mesyuarat MTMD Sabah kali ini, antara isu yang dibincangkan adalah peluasan program tempat kerja bebas dadah sektor awam dan pemerkasaan Skuad Antidadah Negeri Sabah.






