Read Time:1 Minute, 12 Second
KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi di sini menjatuhkan denda RM100,000 masing-masing terhadap ahli perniagaan Albert Tei dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM), Jontih Enggihon, kerana menghina mahkamah.
Pesuruhjaya Kehakiman Ratanah Devi Yusof Perumal membuat Keputusan itu selepas memutuskan kedua-duanya dengan sengaja melanggar terma jelas perintah ex-parte dan perintah ad-interim yang dikeluarkan mahkamah.
“Saya mendapati bahawa walaupun terma perintah ex-parte dan ad-interim adalah jelas, terdapat pelanggaran yang nyata terhadap terma kedua-dua perintah mahkamah berkenaan,” katanya dalam penghakiman pada 18 September lalu, menurut laporan FMT.
Mahkamah memerintahkan kedua-duanya membayar denda RM100,000 dalam tempoh 14 hari dari tarikh penghakiman atau berdepan hukuman penjara 21 hari jika gagal berbuat demikian.
SMM diwakili peguam Datuk Roger Chin, manakala Jontih dan Albert masing-masing diwakili Jul Hamri Jumhani dan Chong Kian Ming.
Pada Januari tahun lalu, SMM menyaman Jontih dan Albert dengan mendakwa mereka melakukan penipuan, pelanggaran kewajipan fidusiari, mengusik dokumen rasmi dan berkonspirasi untuk mendatangkan kerugian.
Pada Ogos tahun lalu, Albert menyaman SMM kerana didakwa mengaitkannya secara palsu dengan konspirasi untuk merosakkan reputasi syarikat itu dan Ketua Pegawai Eksekutifnya ketika ini, selain mengusik dokumen.
Pada 28 Ogos lalu, Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu menolak saman fitnah Albert selepas memutuskan bahawa beliau gagal membuktikan elemen fitnah dalam tuntutannya.
Untuk rekod, Albert turut beberapa pertuduhan rasuah membabitkan dua bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan seorang bekas setiausaha politik kanan kepada Perdana Menteri.






