Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Sabah kekal status negeri karbon negatif


Read Time:2 Minute, 12 Second

SOOK: Sabah masih mengekalkan status sebagai ‘net carbon sink’ atau negeri karbon negatif berdasarkan data inventori gas rumah hijau serta laporan terkini.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, status itu disokong oleh keluasan kawasan berhutan yang signifikan di negeri ini, yang menyumbang secara besar kepada kapasiti penyerapan karbon negara.

Beliau berkata, peranan hutan dalam mengurangkan impak pemanasan global akibat Perubahan Iklim menjadi sangat kritikal kerana hutan berfungsi sebagai “carbon sink”, iaitu kawasan yang menyerap lebih banyak karbon dioksida yang dilepaskan ke atmosfera, seterusnya membantu menstabilkan sistem iklim global.

“Secara tidak langsung, hutan yang telah dikenalpasti sebagai penyumbang kepada aktiviti karbon khususnya hutan paya dan bakau boleh dikembangkan dalam sektor ekonomi alam semulajadi selaras dengan pembangunan sektor Blue Economy dan Green Economy di peringkat negeri.

“Pendekatan pengurusan hutan secara inklusif yang melibatkan komuniti mampu mencapai keseimbangan antara pemuliharaan alam sekitar dan kesejahteraan sosio-ekonomi rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada perasmian Hari Hutan Antarabangsa Kebangsaan di Dataran Sook di sini pada Sabtu.

Hajiji berkata, ini terbukti melalui inisiatif Jabatan Perhutanan Sabah yang melaksanakan projek-projek bersama komuniti setempat di bawah Tabung Projek Pemulihan Hutan.

Beliau berkata, program berasaskan komuniti ini termasuklah program penanaman semula hutan terosot melalui pendekatan pemulihan landskap hutan, pemulihan kawasan tadahan air, serta pembangunan sumber pendapatan alternatif berasaskan hasil hutan bukan kayu seperti madu kelulut dan rotan.

” Usaha Kerajaan Negeri turut dibantu melalui penyaluran peruntukan berterusan di bawah Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) dan juga Tabung Ecological Fiscal Transfer (EFT).

“Saya dimaklumkan, di bawah Rolling Plan-One (RP-1), Jabatan Perhutanan Sabah telah diperuntukkan sebanyak RM70.8 juta bagi tujuan pelaksanaan projek-projek perhutanan di Sabah, dalam tempoh RMK13.

“Melalui EFT pula, Sabah adalah di antara wilayah penerima dana terbesar, iaitu sebanyak RM126.36 juta sejak tahun 2019. Dana ini telah digunakan untuk melaksanakan projek konservasi biodiversiti. Ini juga menunjukkan pengiktirafan daripada Kerajaan Persekutuan ke atas usaha konservasi yang dijalankan di wilayah ini,” katanya.

Hajiji berkata, tema Hari Hutan Antarabangsa, “Hutan dan Ekonomi”, amat bertepatan bagi menonjolkan peranan hutan bukan sahaja sebagai khazanah alam, tetapi juga sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi yang mampan.

Sementara itu, Hajiji mengalu-alukan pemilihan daerah Sook sebagai hos kepada majlis ini di luar kawasan ibu negara yang membuka ruang dan peluang kepada rakyat di pedalaman untuk sama-sama meraikan Hari Hutan Antarabangsa peringkat kebangsaan.

“Ini tentunya atas inisiatif dan sokongan padu daripada Dato’ Sri Arthur Joseph Kurup, selaku Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Malaysia.

“Kebetulan juga Sook ini baharu juga dinaiktaraf dan diwartakan sebagai daerah penuh pada April tahun lalu; dan hari ini mendapat penghormatan sebagai tuan rumah untuk sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Kebangsaan. Tahniah kepada dearah dan penduduk Sook,” katanya.

LEAVE A RESPONSE