Read Time:1 Minute, 5 Second
BEAUFORT : Seramai 60 murid telah menyertai Program Khatan Perdana Sekolah Kebangsaan (SK) Lupak ‘Selangkah Menuju Mukallaf’ yang berlangsung di Hospital Beaufort, di sini pada Sabtu.
Program itu turut melibatkan murid daripada SK Lupak serta beberapa sekolah berhampiran, termasuk anak-anak yatim dan golongan asnaf yang turut menerima perhatian dalam program tersebut.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, Datuk Ruslan Muharam.

Dalam ucapannya, beliau berkata program khatan perdana bukan sahaja memenuhi tuntutan agama dan aspek kesihatan, malah menjadi platform penting dalam memperkukuh hubungan kekeluargaan dan perpaduan masyarakat setempat.
Menurut beliau, penglibatan pelbagai pihak termasuk pihak sekolah, ibu bapa, petugas kesihatan dan sukarelawan mencerminkan semangat kerjasama yang tinggi dalam menjayakan program berkenaan.
“Program seperti ini membantu meringankan beban keluarga, khususnya mereka yang kurang berkemampuan, di samping memberi pengalaman bermakna kepada anak-anak yang terlibat,” katanya.

Beliau turut menasihatkan para peserta agar membesar sebagai generasi berdisiplin dengan menjaga solat, menghormati ibu bapa dan guru serta menuntut ilmu dengan bersungguh-sungguh.
Pada masa sama, Ruslan merakamkan penghargaan kepada pihak sekolah, pihak hospital, PIBG, agensi kerajaan serta sukarelawan yang terlibat secara langsung dalam memastikan kelancaran program.
Beliau berharap program seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan bagi melahirkan generasi muda yang berakhlak, berilmu dan berdaya saing.






