Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

17 barangan terlibat dalam Skim Harga Maksimum Kaamatan dan Gawai 2026


Read Time:2 Minute, 32 Second

KUNDASANG: Sebanyak 17 jenis barangan akan terlibat dalam pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena sambutan Pesta Kaamatan dan Hari Gawai 2026.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, skim berkenaan akan dilaksanakan bermula 27 Mei hingga 4 Jun ini membabitkan Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Menurut beliau, pelaksanaan selama sembilan hari itu mengambil kira kepentingan pengguna dan peniaga bagi memastikan harga barangan keperluan kekal berpatutan sepanjang musim perayaan.

“Pengguna dapat menikmati barangan keperluan pada harga yang munasabah manakala peniaga pula tidak tertekan dengan tempoh pelaksanaan yang terlalu panjang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pengumuman SHMMP Kaamatan dan Gawai 2026 di Kampung Mesilau, di sini, pada Jumaat.

Bagi SHMMP Pesta Kaamatan 2026 di Sabah, sebanyak 12 jenis barangan disenaraikan berbanding 10 jenis pada tahun lalu dengan tambahan dua barangan baharu iaitu halia tua import dan ubi kentang dari China.

Barangan yang terlibat ialah babi hidup, daging babi (daging dan lemak), daging babi (perut), daging kerbau import dari India, kepak ayam, cili kering keriting, bawang merah kecil import dari India, bawang putih dari China, bawang kuning besar, bawang merah besar, halia tua import dan ubi kentang dari China.

Bagi WP Labuan pula, sebanyak 11 jenis barangan disenaraikan melibatkan daging babi (daging dan lemak), daging babi (perut), daging kerbau import dari India, kepak ayam, cili kering keriting, bawang merah kecil import dari India, bawang putih dari China, bawang kuning besar, bawang merah besar, halia tua import dan ubi kentang dari China.

Armizan berkata, perbandingan harga antara pelaksanaan SHMMP Kaamatan 2025 dan 2026 menunjukkan trend harga lebih stabil di Sabah dan Labuan.

“Di Sabah, enam barangan mencatatkan penurunan harga, tiga kekal dan dua barangan baharu diperkenalkan.

“Trend sama turut direkodkan di Labuan dengan enam barangan mengalami penurunan harga, dua kekal dan dua barangan baharu diperkenalkan,” katanya.

Sementara itu, bagi SHMMP Hari Gawai 2026 di Sarawak, sebanyak 12 jenis barangan disenaraikan berbanding 11 jenis tahun lalu dengan tambahan satu barangan baharu iaitu daging kerbau import dari India.

Antara barangan terlibat ialah babi hidup, daging babi (daging dan lemak), daging babi (perut), ayam tua hidup, kepak ayam, kubis bulat import, bawang putih dari China, cili kering keriting, kelapa biji, kelapa parut dan santan.

Menurut beliau, analisis harga bagi sambutan Hari Gawai tahun ini menunjukkan lima barangan mengalami penurunan harga manakala tiga lagi kekal pada harga semasa.

Katanya, skim berkenaan akan dikuatkuasakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 [Akta 723] dengan pegawai penguat kuasa KPDN ditempatkan di lokasi strategik seperti pasar awam, pasar tani, pasar tamu dan pusat membeli-belah.

“Peniaga diwajibkan menggunakan label merah jambu bagi barangan harga terkawal dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata, KPDN turut bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) serta pemain industri bagi memastikan bekalan mencukupi sepanjang tempoh pelaksanaan skim.

Selain SHMMP, katanya, kementerian juga meneruskan pelaksanaan inisiatif Payung RAHMAH termasuk Program Jualan RAHMAH MADANI (PJRM) dan Program Servis Ihsan MADANI@Petronas AutoExpert (SIM@PAX) bagi membantu menangani kos sara hidup rakyat.

LEAVE A RESPONSE