Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

10,825 KIR berjaya dikeluarkan daripada senarai miskin tegar

Read Time:3 Minute, 34 Second

TUARAN: Sabah telah berjaya mencapai sifar Ketua Isi Rumah (KIR) miskin tegar daripada angka yang telah dikunci pada Januari lalu melibatkan seramai 10, 825 KIR.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, berdasarkan data eKasih sehingga lalu, jumlah KIR miskin tegar yang dikunci pada Januari tahun ini telah berjaya dikurangkan 100 peratus.

Beliau berkata, ia merupakan hasil pelaksanaan pelbagai intervensi bantuan yang dilaksanakan secara bersepadu oleh Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan, katanya.

“Kejayaan ini menunjukkan bahawa pendekatan berasaskan data, penyelarasan bantuan melalui sistem Pangkalan Data Negeri Sabah (PADANS) dan eKasih serta pelaksanaan.

“Pelbagai intervensi bantuan secara bersasar telah berjaya membawa perubahan yang signifikan kepada golongan sasar.

“Walau bagaimanapun, pencapaian ini bukanlah noktah kepada perjuangan kita. Kerajaan Negeri menyedari bahawa masih terdapat rakyat yang memerlukan perhatian dan bantuan.

“Berdasarkan data eKasih sehingga 31 Mei 2026, seramai 57,710 Ketua Isi Rumah masih berada dalam kategori miskin berbanding 70,298 KIR pada Januari 2026, iaitu penurunan sebanyak 17.9 peratus dalam tempoh empat bulan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran program Outreach Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) daerah Tuaran di Dewan Sri Sulaman di sini pada Selasa.

Hajiji berkata, jumlah keseluruhan individu yang berada dalam kategori miskin turut menunjukkan penurunan ketara.

Beliau berkata, bilangan KIR dan Ahli Isi Rumah (AIR) yang yang berada dalam kategori miskin juga telah berkurangan daripada 743,939 orang pada Januari 2026 kepada 577,110 orang pada Mei 2026.

“Berdasarkan Laporan Survei Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas 2024 yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Insiden kemiskinan mutlak Sabah telah menurun daripada 19.7 peratus pada tahun 2022 kepada 17.7 peratus pada tahun 2024,” katanya.

Manakala, katanya bagi insiden kemiskinan tegar juga mencatat penurunan di mana pada tahun 2022 insiden kemiskinan tegar direkod sebanyak 1.2 peratus dan pada tahun 2024 insiden kemiskinan tegar berkurang kepada 0.7 peratus iaitu pengurangan sebanyak 0.5 peratus.

“Walaupun Sabah masih merekodkan kadar kemiskinan mutlak dan miskin tegar tertinggi di Malaysia, penurunan peratus insiden ini menunjukkan bahawa pelbagai dasar dan program pembangunan yang dilaksanakan oleh kerajaan mula membuahkan hasil,” katanya.

Sementara itu, Hajiji berkata kejayaan mencapai sifar miskin tegar pada tahun 2026 merupakan satu pencapaian penting dalam perjalanan Sabah ke arah mencapai sasaran pembangunan sosial yang lebih inklusif.

“Namun demikian, cabaran sebenar yang masih perlu ditangani adalah mengurangkan insiden kemiskinan negeri yang masih tinggi berbanding negeri-negeri yang lain.

“Oleh itu, SMJ 2.0 menetapkan hala tuju yang jelas untuk mengurangkan insiden kemiskinan secara berperingkat sehingga menghampiri kadar nasional menjelang tahun 2030 melalui pelaksanaan program pembangunan yang lebih bersasar, berimpak tinggi dan mampan,” katanya.

Justeru katanya, Kerajaan Negeri mensasarkan insiden kemiskinan mutlak Sabah dapat dikurangkan secara berperingkat kepada sekitar tiga hingga lima peratus dan insiden miskin tegar sehingga 0 ke 0.1 peratus menjelang tahun 2030.

“Bagi mencapai matlamat tersebut, kerajaan akan terus melaksanakan Program Menoktahkan Kemiskinan dan Miskin Tegar Negeri Sabah dengan memberi tumpuan kepada penyediaan rumah mampu milik, pembangunan modal insan, penciptaan peluang pekerjaan, peningkatan kemahiran, pembangunan ekonomi luar bandar serta bantuan kewangan yang bersasar kepada golongan yang memerlukan,” katanya.

Menurutnya, pendekatan juga selaras dengan komitmen Kerajaan Negeri untuk memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati secara adil dan saksama oleh seluruh rakyat tanpa mengira lokasi, latar belakang dan status ekonomi.

Tambahnya, usaha Kerajaan Negeri dalam menoktahkan kemiskinan tegar di negeri ini berpandukan lima intervensi bantuan utama kepada golongan miskin tegar.

Intervensi pertama ialah bantuan perumahan melalui pemberian bantuan rumah percuma di bawah Program Rumah Mesra Sabah Maju Jaya, kedua bantuan peluang pekerjaan melalui Program MySMJ Kerja dan ketiga bantuan Pendidikan Modal Insan dengan penyediaan 14 Jenis Bantuan Pendidikan termasuk Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah dan bantuan daripada Yayasan Sabah serta Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS).

Manakala intervensi keempat ialah bantuan kebajikan dengan memfokuskan kepada golongan yang tidak produktif seperti warga emas, pesakit terlantar dan orang kurang upaya (OKU) dan intervensi terakhir ialah bantuan keusahawan dan peningkatan ekonomi melalui program seperti Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) dan Sejahtera MADANI.

Hajiji berkata Kerajaan negeri meletakkan agenda pembasmian kemiskinan sebagai keutamaan dalam pembangunan negeri ini.

“Ini adalah tekad kerajaan negeri bagi memastikan tiada rakyat tercicir daripada arus pembangunan negara dan setiap rakyat menikmati kehidupan yang lebih sejahtera.

“Dalam konteks ini, usaha telah dan sedang kita laksanakan di bawah Pelan Pembangunan SMJ 1.0. dan kini diteruskan melalui Pelan Pembangunan SMJ 2.0,” katanya.

LEAVE A RESPONSE