Read Time:2 Minute, 44 Second
Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir berada dalam keadaan sedar tetapi mengalami tekanan emosi ketika pertemuan terakhirnya dengan seorang saksi pada malam sebelum ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asramanya.
Pakar Perunding Psikiatri, Dr Wong Haw Huo, memberitahu Koroner Amir Shah Amir Hassan bahawa Zara berada dalam keadaan sedar kerana masih mampu mengenali saksi berkenaan yang sebelum ini memberi keterangan bahawa “wajahnya kelihatan merah seperti baru menangis.”
“Itu adalah tanda tekanan emosi. Jelas sekali Zara berada dalam keadaan tertekan selepas mengasingkan diri di dalam tandas. Kemungkinan dia baru keluar dari tandas sebelum terserempak dengan saksi itu,” jelas Dr Wong.
Ketika menjawab soalan Pegawai Pengendali, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fairuz Johari, saksi ke-75 itu berkata ungkapan pertama yang disebut Zara kepada saksi ialah, “Saya mahu pindah sekolah.”
“Zara menghadapi kesukaran untuk menjelaskan sebabnya kerana rentetan kejadian yang serius itu baru sahaja berlaku beberapa jam sebelum itu.
“Kita perlu menghubungkan keseluruhan peristiwa ini bagi mendapatkan gambaran menyeluruh.
“Zara berdepan tuduhan, konfrontasi berulang kali daripada sekumpulan pelajar dan dihina di hadapan rakan-rakan. Dia menangis, menjerit, namun tiada sesiapa yang menenangkannya. Dia kemudian masuk ke tandas dengan harapan seseorang akan datang mencarinya kerana pada ketika itu emosinya sangat rapuh dan tidak stabil,” katanya.
Dr Wong berkata, Zara ketika itu memerlukan rasa selamat dari segi psikologi, namun tiada sesiapa yang datang mendapatkan atau menenangkannya sehinggalah dia bertemu saksi berkenaan.
“Saya percaya saksi itu mungkin individu terakhir yang bercakap dengan Zara. Perkataan pertama yang disebut Zara ialah, ‘Saya mahu pindah sekolah’, diikuti dengan ‘Saya mahu terjun’.
“Adakah saya bersetuju bahawa ungkapan itu menunjukkan Zara benar-benar memahami akibat daripada perbuatannya? Saya tidak bersetuju kerana saya tidak menilai Zara pada ketika itu.
“‘Saya mahu terjun’ boleh membawa pelbagai maksud. Terjun dari mana? Tingkat tiga? Tingkat dua? Tingkat satu? Saya tidak tahu.
“Jika saya mahu membuat kesimpulan bahawa wujud niat membunuh diri, saya memerlukan penjelasan lanjut. Sekiranya dia bercakap tentang terjun, dari tingkat mana? Selepas terjun, apakah akibat yang difahaminya? Itu semua tidak diketahui,” katanya.
Menurut Dr Wong, ungkapan itu juga mungkin sekadar membawa maksud Zara terlalu tertekan dan mahu melarikan diri daripada situasi yang dihadapinya.
“Ketika itu Zara berada di dalam kawasan asrama yang tertutup. Bayangkan tiada seorang pun, termasuk rakan sebiliknya, datang bertanya khabar atau mendapatkan Zara.
“Semua saksi bebas yang memberi keterangan menyatakan itulah kali pertama mereka melihat Zara mengalami tekanan emosi yang begitu teruk. Di situ kita dapat melihat betapa mendalamnya tekanan psikologi dan perasaan negatif yang ditanggungnya.
“Dia mencari sokongan, tetapi tiada siapa yang membantunya. Sebab itu saya tidak bersetuju jika dikatakan Zara benar-benar memahami akibat daripada kata-katanya tanpa terlebih dahulu membuktikan tahap pemahaman dan keupayaannya menilai akibat perbuatannya. Adalah tidak adil untuk membuat andaian sedemikian,” katanya.
Zara, 13, ditemui di bawah bangunan asramanya pada 16 Julai 2025 sebelum meninggal dunia di hospital pada keesokan harinya.
Jenazahnya digali semula pada 9 Ogos 2025 dan bedah siasat dijalankan pada 10 Ogos di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth.
Pada 20 Ogos 2025, lima remaja bawah umur yang dikenali sebagai Pelajar A, B, C, D dan E didakwa atas pertuduhan mencela Zara.
Terdahulu, sebelum prosiding bermula, Mahkamah Koroner bertafakur selama seminit sempena genap setahun pemergian Zara.
LINK BERITA TERDAHULU:






