Read Time:1 Minute, 31 Second
KOTA KINABALU: Langkah pencegahan awal perlu diperkasakan bagi mengelakkan gejala penggunaan vape menular ke sekolah, khususnya dalam kalangan murid sekolah rendah.
Pengerusi Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (PIBKS) Sabah, Datuk Mohammad Arif Sakaran berkata, meskipun belum terdapat data yang menunjukkan gejala berkenaan telah berlaku di sekolah rendah, namun usaha meningkatkan kesedaran perlu dimulakan lebih awal agar masalah itu dapat dibendung sebelum menjadi lebih serius.
“Data itu kita belum lihat lagi, tetapi kita khuatir gejala ini akan merebak ke sekolah. Jadi, sebelum ia berlaku, lebih baik kita tangani dari awal.
“Kesedaran itu penting. Kita perlu memberi penerangan kepada murid-murid di peringkat sekolah rendah selain menganjurkan program bersama ibu bapa mengenai bahaya vape kepada golongan muda,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Sukan Olahraga Tahunan Sekolah Kebangsaan (SK) Sembulan, di sini.
Menurutnya, penggunaan vape dalam kalangan kanak-kanak dan remaja perlu dipandang serius kerana kandungannya dikhuatiri boleh memberi kesan buruk terhadap perkembangan fizikal serta fungsi otak pada usia muda.
Sehubungan itu, beliau berkata usaha membendung gejala tersebut tidak boleh dipikul oleh pihak sekolah semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama erat antara ibu bapa, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), komuniti serta agensi kerajaan.
Katanya, PIBG boleh memainkan peranan lebih proaktif dengan menganjurkan pelbagai program kesedaran dan pendidikan bagi membantu murid memahami risiko penggunaan vape serta menjauhkan diri daripada gejala sosial.
“Usaha ini memerlukan kebersamaan semua pihak. Sekolah, ibu bapa, komuniti dan agensi berkaitan perlu berganding bahu supaya gejala ini dapat dicegah sebelum ia memasuki persekitaran sekolah,” katanya.
Mengulas mengenai peranan pihak berkuasa, Arif berkata penguatkuasaan serta peraturan berkaitan bahan yang boleh memudaratkan golongan muda wajar diperkasakan agar tindakan tegas dapat diambil terhadap pihak yang melanggar undang-undang.
“Kita tidak mahu mengatakan perkara ini sudah berlaku di sekolah. Apa yang kita mahu ialah membasmi dan mencegah gejala ini sebelum ia memasuki sekolah,” katanya.





