Read Time:3 Minute, 54 Second
Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Seorang lelaki yang membunuh dan membakar tubuh bapa saudaranya susulan perselisihan faham mengenai tanah keluarga dijatuhi hukuman penjara 35 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Alexander Siew How Wai menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Joe Fredin Taip, 52, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan membunuh Hussien Sodomon, 68.
Mengikut pertuduhan, Joe melakukan kesalahan itu di kawasan hutan di belakang sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Kipaliu, Ranau, antara 16 hingga 18 April 2024, kira-kira jam 3 petang.
Dia disabitkan atas kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun serta tidak kurang 12 sebatan sekiranya tidak dijatuhi hukuman mati.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara dikira dari tarikh tangkapan pada 19 April 2024, manakala tertuduh tidak dikenakan hukuman sebat kerana berusia lebih 50 tahun.
Berdasarkan fakta kes, pada 15 April 2024, tertuduh pergi ke pondok tempat tinggal mangsa dengan membawa sebatang kayu yang diambil dari rumah bersebelahan pondok berkenaan susulan perselisihan faham mengenai tanah keluarga antara mereka.
Setibanya di hadapan pintu pondok berkenaan, tertuduh memukul bahagian belakang kepala mangsa beberapa kali menggunakan kayu terbabit.
Mangsa menjerit kesakitan dan cuba melarikan diri, namun terjatuh tidak jauh dari hadapan pondok tempat tinggalnya.
Tertuduh kemudian menarik kaki mangsa yang dalam keadaan tidak sedarkan diri ke kawasan semak berhampiran sebelum menutupi tubuhnya menggunakan daun dan ranting kayu.
Keesokan harinya, tertuduh kembali ke lokasi sama sebelum membawa tubuh mangsa ke kawasan hutan di belakang sebuah rumah tidak bernombor di kampung berkenaan dan membakarnya.
Pada 17 April 2024, tertuduh kembali ke kawasan hutan sama dan mendapati tubuh mangsa belum hancur sepenuhnya sebelum mengulangi proses pembakaran.
Pada hari berikutnya, tertuduh mendapati tubuh mangsa sudah hancur dibakar dan hanya meninggalkan sisa abu dan tulang.
Tertuduh kemudian mengumpulkan dan melonggokkan sisa abu dan tulang berkenaan sebelum pulang ke rumahnya.
Tertuduh turut berselisih dengan seorang lelaki, yang sedang mencari mangsa yang hilang sejak beberapa hari. Tertuduh berkata kepada lelaki itu, ‘Kasi batal lah buat rumah dia, tiada yang mahu tinggal, dia sudah jalan jauh’, merujuk kepada mangsa.
Pada 18 April 2024, kira-kira jam 3 petang, anak saudara mangsa, Mohd Hafiz, yang sedang mencari mangsa menemukan sisa abu dan tulang yang disyaki tulang manusia di kawasan hutan berkenaan.
Mohd Hafiz kemudian membuat laporan polis kerana mengesyaki sisa abu dan tulang itu adalah milik mangsa.
Sisa abu dan tulang berkenaan dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk dibedah siasat.
Hasil pemeriksaan terhadap 676 serpihan tulang yang ditemukan menunjukkan ciri-ciri yang bersesuaian dengan satu rangka tulang manusia yang tidak lengkap daripada seorang individu.
Serpihan itu terdiri daripada tulang tengkorak, tulang muka, gigi, tulang belakang, tulang rusuk, tulang pelvis serta tulang tangan dan kaki.
Pemeriksaan turut mendapati serpihan tulang berkenaan rapuh dan berwarna kelabu-putih, iaitu ciri-ciri yang bersesuaian dengan tulang yang dibakar pada suhu tinggi dalam tempoh yang panjang.
Serpihan tulang itu juga tidak lengkap, berpecah-belah dan berubah bentuk, manakala tisu lain sudah menjadi arang dan debu.
Keadaan sisa abu dan tulang yang terlalu teruk menyebabkan kecederaan dan punca kematian mangsa tidak dapat ditentukan, selain analisis perbandingan DNA tidak dapat dijalankan.
Bagaimanapun, perbuatan tertuduh memukul mangsa sehingga tidak sedarkan diri sebelum membakar tubuhnya beberapa kali sehingga hanya meninggalkan sisa abu dan tulang menunjukkan niat tertuduh untuk menyebabkan kematian dan melupuskan tubuh mangsa.
Semasa rayuan meminta hukuman diringankan, peguam lantikan mahkamah Yong Pei Yi yang mewakili tertuduh antara lain berkata tertuduh menyesali perbuatannya dan mengaku bersalah serta berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama pada masa hadapan.
Menurutnya lagi tertuduh yang merupakan pekebun buah-buahan masih bujang dan tinggal bersama ibunya yang berusia kira-kira 75 tahun sebelum melakukan kesalahan itu.
Tambahnya lagi tiada bukti menunjukkan pembunuhan itu dirancang terlebih dahulu.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Dacia Jane Romanus memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara maksimum terhadap tertuduh.
Beliau berhujah bahawa kesalahan itu merupakan pengkhianatan serius terhadap kepercayaan hubungan kekeluargaan apabila nyawa seorang lelaki diragut secara tragis hanya kerana pertikaian tanah.
Katanya, tertuduh bukan sahaja mencederakan mangsa dengan memukulnya menggunakan sebatang kayu, malah membakar tubuh mangsa berulang kali selama beberapa hari dalam usaha memusnahkan tubuh mangsa berserta sebarang bukti yang berpotensi mengaitkannya dengan jenayah berkenaan.
Perbuatan itu bukan sahaja memperlihatkan kekejaman kesalahan berkenaan, malah sejauh mana tertuduh sanggup bertindak untuk menyembunyikan jenayahnya.
Pihak pendakwaan turut berhujah bahawa kepentingan awam perlu menjadi pertimbangan utama dalam menentukan hukuman yang bersesuaian.
“Pertikaian tanah bukan sesuatu yang luar biasa di Sabah, namun pertikaian sedemikian boleh membawa akibat yang dahsyat dan tidak dapat dipulihkan apabila diselesaikan melalui keganasan.
“Hukuman yang dijatuhkan perlu memberikan mesej jelas bahawa tiada sebarang pertikaian, tanpa mengira sifatnya, boleh mewajarkan tindakan meragut nyawa orang lain,” katanya.





