Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Seorang lelaki warga emas didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan.
Tertuduh, Salamin Parman, 67, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Amir Shah Amir Hassan.
Mengikut kertas pertuduhan, Salamin didakwa melakukan kesalahan itu terhadap mangsa berusia 11 tahun pada jam 12 tengah hari, 26 Februari lalu, di dalam bilik solat wanita sebuah surau di Tuaran.
Dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga disebat, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 13 Ogos ini untuk sebutan semula kes.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam dibenarkan diikat jamin RM10,000 dengan deposit RM5,000 serta dua penjamin tempatan.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh melaporkan diri di balai polis sebulan sekali serta menyerahkan pasport kepada mahkamah, jika ada.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurul Shafeerah Mad Iskim.






