Read Time:1 Minute, 9 Second
SIPITANG: Misteri kehilangan seorang lelaki berusia lingkungan 50-an sejak minggu lalu akhirnya terungkai apabila mangsa ditemui meninggal dunia dalam keadaan mayat sudah mula mereput di kawasan hutan Kampung Takula, di sini, selepas dipercayai tertembak ketika aktiviti memburu.
Ketua Polis Daerah Sipitang, Superintenden Awang Anak Suanda berkata, mangsa pada awalnya dilaporkan hilang selepas tidak pulang ke rumah, menyebabkan keluarganya membuat laporan polis pada Selasa.
Menurutnya, siasatan mendapati mangsa keluar pada Jumaat (3 Julai) bersama dua rakannya untuk memancing sebelum dipercayai meneruskan aktiviti memburu di kawasan hutan Kampung Takula.
“Pada Ahad, kedua-dua rakannya pulang ke rumah, namun mangsa tidak pulang sehingga keluarganya membuat laporan orang hilang pada Selasa.
“Hasil siasatan lanjut, polis menerima maklumat bahawa mangsa dipercayai tertembak ketika aktiviti memburu,” katanya ketika dihubungi media.
Beliau berkata, Jumaat lalu kedua-dua suspek yang masing-masing berusia lingkungan 50-an telah ditahan bagi membantu siasatan.
Katanya, susulan dari penahan itu kedua-dua suspek membawa ke lokasi kejadian dan hasil pemeriksaan menemukan mayat mangsa yang disembunyikan di dalam semak dan dipercayai sudah beberapa hari berada di situ sehingga mengalami pereputan.
“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek dipercayai panik dan takut selepas mangsa tertembak sebelum bertindak menyembunyikan mayatnya di kawasan semak.
“Polis turut merampas dua laras senjata api buatan sendiri jenis bakakuk daripada suspek.
“Kedua-dua suspek kini direman bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.






