KOTA KINABALU : Sabah meraih pingat gangsa pertama pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 menerusi atlet berbasikal lasak (mountain bike) Brenjen Bon Jacob dalam acara Downhill Individual Lelaki yang berlangsung di Lembah Peladang Agro Park, Selangor petang tadi.
Brenjen mempamerkan kayuhan cemerlang pada perlumbaan akhir apabila mencatat masa 2 minit 04.519 saat untuk menamatkan saingan di tempat ketiga, sekali gus menghadiahkan pingat gangsa pertama buat Sabah pada temasya kali ini.
Pingat emas dimenangi Zane Aydeen dari Negeri Sembilan dengan catatan masa 1:58.146, manakala pingat perak menjadi milik Tengku Mukhriz dari Pahang yang mencatat 1:59.653.
Lebih membanggakan, Brenjen berjaya memperbaiki kedudukannya selepas hanya menduduki tempat kelapan pada peringkat kayuhan masa rasmi sebelah pagi dengan catatan masa 2:04.549.
Peningkatan prestasi yang ditunjukkan atlet Sabah itu pada perlumbaan akhir membolehkan beliau memintas beberapa pencabar lain untuk menempatkan diri dalam kelompok tiga terbaik dan menaiki podium. – SABAH MEDIA






