Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Seorang buruh warga asing dijatuhi hukuman penjara 30 tahun dan 12 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini selepas didapati bersalah mengedar 475.1 gram methamphetamine.
Pesuruhjaya Kehakiman Ratanah Devi Yusof Perumal menjatuhkan hukuman itu terhadap Zulkipli Utok, 33, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan.
Zulkipli didapati melakukan kesalahan itu di hadapan sebuah restoran di Telipok Ria, Tuaran, kira-kira jam 1.50 petang pada 4 Julai 2023.
Dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama.
Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan, jika tidak dijatuhi hukuman mati, sebatan tidak kurang 12 kali.
Sepanjang perbicaraan, pihak pendakwaan memanggil enam saksi untuk memberi keterangan, manakala pihak pembelaan memanggil dua saksi.
Zulkipli, yang tidak mempunyai sebarang dokumen diwakili peguam lantikan kerajaan Shahlan Jufri.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lovely Natasha Charles.






