Read Time:1 Minute, 32 Second
Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menetapkan sekurang-kurangnya 80 peratus daripada jumlah minimum tenaga kerja tempatan di syarikat pelabur baharu di negeri ini hendaklah terdiri daripada rakyat Sabah.
Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan berkata, langkah itu adalah lanjutan daripada syarat kelulusan Lesen Pengilang atau Federal Manufacturing Licence (FML) oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) yang menetapkan sekurang-kurangnya 80 peratus tenaga kerja sepenuh masa syarikat pelabur semasa fasa pengoperasian terdiri daripada rakyat Malaysia.
Katanya, ketetapan itu selaras dengan aspirasi Sabah First serta komitmen kerajaan negeri untuk memastikan anak tempatan diberi keutamaan dan peluang yang lebih luas dalam sektor perindustrian.
“Pendekatan ini bukan sahaja dapat memperkukuh akses pekerjaan kepada rakyat Sabah, malah turut menyumbang kepada pembangunan modal insan, peningkatan kemahiran tenaga kerja tempatan serta limpahan sosioekonomi yang lebih inklusif kepada komuniti setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin (Nabawan) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.
Beliau berkata, kementeriannya turut bekerjasama dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Sabah dan pelabur bagi melaksanakan inisiatif padanan pekerjaan berdasarkan data pencari kerja yang tersedia di agensi itu.
Katanya, kerjasama itu turut merangkumi perancangan program peningkatan kemahiran, latihan semula dan pensijilan yang bersesuaian bagi memenuhi keperluan bidang pekerjaan yang ditawarkan oleh pelabur.
Selain itu, katanya, kementerian akan terus meneliti inisiatif ‘local content’ yang bersesuaian bagi memastikan manfaat kemasukan pelaburan ke Sabah dapat dinikmati secara langsung dan berterusan oleh rakyat negeri ini.
Menjawab soalan tambahan Abdul Ghani, beliau berkata kementerian melipatgandakan usaha menarik pelabur menerusi lawatan promosi ke luar negara.
Katanya, usaha itu turut dilaksanakan melalui Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) serta penyertaan dalam ekspo antarabangsa bagi mempromosikan peluang pelaburan dan produk usahawan Sabah.
Beliau berkata, kementerian juga menghantar delegasi ke ekspo berkenaan bagi menarik pelabur selain mempromosikan produk Sabah kepada negara yang berminat.






