Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

UMS bantu 87 pelajar menerusi Program Siswa Sulung 3.0 dan 4.0


Read Time:1 Minute, 7 Second

KOTA KINABALU :  Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus komited memperkasa akses pendidikan tinggi kepada golongan kurang berkemampuan menerusi pelaksanaan Program Siswa Sulung 3.0 dan 4.0 yang memberi manfaat kepada 87 pelajar universiti itu.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, program tersebut merupakan inisiatif penting dalam membantu pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah khususnya golongan B40 untuk meneruskan pengajian di institusi pendidikan tinggi.

Program itu katanya turut membuka peluang kepada generasi pertama dalam keluarga melanjutkan pengajian ke universiti sekali gus membantu meningkatkan taraf hidup keluarga melalui pendidikan.

“Di UMS, pelaksanaan Program SULUNG memberi fokus kepada bantuan pembiayaan yuran pengajian bagi membantu pelajar yang layak.

“Pihak universiti sentiasa komited memastikan kebajikan pelajar terus diberi perhatian agar mereka dapat menumpukan sepenuh perhatian terhadap pengajian tanpa dibebani masalah kewangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Surat Tawaran Siswa SULUNG 3.0 dan 4.0 UMS di Dewan Bankuasi, UMS. 

Kasim berkata, Jabatan Hal Ehwal Pelajar UMS turut membantu pelajar Program Siswa SULUNG mendapatkan penajaan dan biasiswa daripada pelbagai agensi termasuk Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah, Yayasan Sarawak, Yayasan Tenaga Nasional dan institusi zakat.

“Hasil usaha berterusan tersebut, seramai 20 pelajar berjaya menerima tawaran penajaan dan biasiswa,” katanya.

Beliau turut mengingatkan para pelajar agar menghargai peluang dan bantuan yang diberikan dengan terus berusaha mencapai kejayaan dalam bidang akademik serta kokurikulum.

LEAVE A RESPONSE