BERNAMA
KOTA KINABALU : Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Musa Aman mengucapkan takziah kepada keluarga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bongawan Allahyarham Datuk Karim Bujang yang meninggal dunia hari ini.
Tun Musa juga mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan hamba-Nya yang beriman serta beramal soleh.
“Semasa hayatnya, Allahyarham pernah berkhidmat sebagai seorang daripada Pembantu Menteri dalam pentadbiran kerajaan yang saya ketuai,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menyifatkan Allahyarham sebagai seorang pemimpin yang komited, tekun melaksanakan amanah dan sentiasa memberikan khidmat terbaik dalam melaksanakan tanggungjawab yang diberikan.
Allahyarham Karim, 73, yang juga bekas Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah meninggal dunia di kediamannya di Kampung Sipanggil, Putatan tengah hari tadi.
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Brunei, Kimanis pada 5.30 petang selepas disembahyangkan di Surau Kampung Sipanggil dan Masjid Imam Abdullah di kampung halamannya.
Allahyarham yang berkhidmat sebagai ADUN Bongawan selama lima penggal dari 1990 hingga 2013 meninggalkan balu Datin Maimun Pg Bagul, dua anak lelaki serta tiga cucu.– BERNAMA






