Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Tahun Melawat Sabah 2027 perkukuh jenama Sabah sebagai destinasi bertaraf dunia

Read Time:2 Minute, 4 Second

SEMPORNA: Kerajaan Sabah sedang merangka pelbagai program sempena Tahun Melawat Sabah 2027 yang akan menjadi pemangkin utama pengukuhan jenama Sabah sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, program Tahun Melawat Sabah 2027 ini bukan sahaja bagi mengekalkan momentum positif daripada Tahun Melawat Malaysia 2026 tetapi ianya juga adalah untuk memastikan kesinambungan pertumbuhan industri pelancongan yang mampan dan inklusif.

Beliau berkata, seiring dengan pengisytiharan Tahun Melawat Malaysia 2026, Kerajaan Sabah telah dan akan mempergiat inisiatif, program dan acara berimpak tinggi bagi menarik lebih ramai pelancong ke Sabah.

“Ini termasuklah program seperti Regatta Lepa Semporna selain mempromosikan pelancongan berasaskan komuniti serta pengukuhan kempen pemasaran digital bagi menarik lebih ramai pelancong antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Regatta Lepa Semporna di sini pada Jumaat.

Teks ucapannya disampaikan oleh Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.

Hajiji berkata dengan pelbagai program yang dirancang, Sabah berada di landasan yang tepat untuk mencapai sasaran empat juta ketibaan pelawat sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 serta membuat persediaan bagi Tahun Melawat Sabah 2027.

“Tahun lalu, Sabah mencatat prestasi memberangsangkan dengan menerima 3.79 juta pelawat,” katanya.

Dalam pada itu, katanya Kerajaan Negeri akan terus menyokong usaha-usaha yang mampu memperkukuhkan kedudukan Semporna sebagai destinasi pelancongan budaya dan maritim yang unggul di rantau ini.

“Dalam dunia yang semakin moden dan mencabar, usaha memelihara warisan budaya bukan lagi satu pilihan, tetapi satu tanggungjawab yang perlu dipikul bersama agar identiti dan jati diri kita tidak hilang ditelan zaman.

“Justeru, dalam konteks ini kerajaan negeri sentiasa memberi perhatian kepada pembangunan sektor pelancongan sebagai salah satu pemacu utama pertumbuhan ekonomi Sabah, dengan kepelbagaian khazanah budaya dijadikan tarikan ke negeri ini,” katanya.

Sementara itu, Hajiji berkata, Regatta Lepa telah membuktikan bahawa acara berasaskan budaya mampu menjadi produk pelancongan yang berimpak tinggi.

“Setiap tahun, ribuan pelawat datang ke Semporna untuk menyaksikan sendiri keindahan perahu lepa, persembahan kebudayaan, pertandingan tradisional serta pelbagai aktiviti yang disediakan.

“Kehadiran pelancong ini secara langsung memberi manfaat kepada pengusaha hotel, pengusaha bot pelancongan, peniaga kecil, usahawan kraftangan, pengusaha makanan dan minuman serta masyarakat setempat,” katanya.

Perahu lepa merupakan simbol kehidupan masyarakat Bajau Semporna sejak zaman-berzaman bukan sahaja berfungsi sebagai pengangkutan di lautan, malah menjadi lambang kemahiran, kreativiti dan kehalusan seni masyarakat.

“Keunikan inilah yang menjadikan Regatta Lepa begitu istimewa. la mempamerkan keindahan budaya, adat resam dan nilai-nilai kehidupan yang diwarisi daripada generasi terdahulu. Warisan seperti ini perlu terus dipelihara kerana ia merupakan khazanah yang tidak ternilai harganya,” katanya.

LEAVE A RESPONSE