Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Tiada Imej Mencurigakan Dikesan Ketika Juruterbang Melalui Pemeriksaan Di KLIA – AKPS

Read Time:1 Minute, 48 Second

KUALA LUMPUR: Tiada imej atau objek mencurigakan dikesan ketika seorang juruterbang warga Malaysia melalui pemeriksaan keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berlepas ke Indonesia pada 28 Julai lalu.

Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata juruterbang berkenaan melepasi semua prosedur saringan keselamatan seperti biasa.

“Dalam saringan yang dilakukan menggunakan mesin pengimbas, barangan atau beg yang dibawanya tidak menghasilkan sebarang imej mencurigakan.

“Justeru, ia melepasi saringan biasa yang dilaksanakan oleh pihak keselamatan KLIA,” katanya pada sidang media hari ini.

Mohd Shuhaily berkata pihaknya masih menunggu maklum balas Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi meneliti bagaimana juruterbang berkenaan boleh melepasi pemeriksaan sebelum didakwa ditemukan membawa dadah setibanya di Indonesia.

Menurutnya, individu yang membawa barangan terlarang lazimnya menggunakan kaedah tertentu untuk menyembunyikan atau membalut bahan berkenaan supaya sukar dikesan menerusi mesin pengimbas.

“Modus operandi untuk menyaluti atau menyembunyikan bahan itu sedang kita tunggu daripada PDRM. Saya difahamkan PDRM sedang berusaha menghantar pegawai untuk bekerjasama dengan pihak narkotik Indonesia,” katanya.

Pada 31 Julai lalu, media melaporkan juruterbang berusia 39 tahun itu ditahan sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta, pada 29 Julai selepas menerbangkan pesawat penumpang antarabangsa dari Kuala Lumpur.

Ketua Pengarah Kastam dan Eksais Indonesia, Djaka Budi Utama, dilaporkan berkata dadah termasuk 25 kilogram ekstasi bernilai kira-kira Rp60 bilion ditemukan disembunyikan di dalam bagasi suspek.

Mengulas dakwaan berlaku kelemahan pemeriksaan, Mohd Shuhaily menegaskan juruterbang dan kru kabin tertakluk kepada proses saringan yang sama seperti penumpang lain.

Beliau berkata prosedur pemeriksaan keselamatan membabitkan juruterbang dan kru penerbangan di semua lapangan terbang negara akan ditambah baik susulan kejadian itu.

Perkara berkenaan dibincangkan dalam mesyuarat yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Seri Jana Santhiran Muniayan, bersama AKPS, PDRM dan Malaysia Aviation Group (MAG).

“MAG mengambil perkara ini dengan amat serius dan semua prosedur sedia ada akan ditambah baik dalam masa terdekat. Kami juga dimaklumkan semua kakitangan akan menjalani saringan lanjut,” katanya.

Mohd Shuhaily menegaskan AKPS tidak akan berkompromi sekiranya siasatan PDRM menemukan sebarang unsur salah laku membabitkan pegawainya.

Beliau turut meminta orang ramai memberikan ruang dan masa kepada penguat kuasa untuk menjalankan pemeriksaan keselamatan dengan lebih teliti di semua pintu masuk negara.

LEAVE A RESPONSE