Borneonisasi perkhidmatan awam, kesihatan dan pendidikan antara agenda penting MTPMA63 – Mustapha
Read Time:1 Minute, 37 Second
PUTRAJAYA: Pelaksanaan inisiatif ‘borneonisasi’ perkhidmatan awam, usaha merapatkan jurang penyampaian kesihatan serta pemerkasaan pendidikan di Sabah dan Sarawak menjadi antara agenda strategik yang diberi perhatian dalam Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal di bawah Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63).
Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal MTPMA63 yang berlangsung hari ini meneliti perkembangan terkini pelaksanaan pelbagai perkara di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sebagai persediaan menghadapi Mesyuarat MTPMA63 yang akan dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada September ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Ts Mustapha Sakmud ketika mempengerusikan mesyuarat itu berkata, beberapa agenda penting terus diperkemas menerusi platform MTPMA63 bagi memastikan pelaksanaan MA63 berjalan secara berterusan dan memenuhi keperluan semasa rakyat Sabah serta Sarawak.
“Antara perkara yang diberi tumpuan ialah inisiatif ‘borneonisasi’ perkhidmatan awam yang bertujuan memperkukuh penyertaan serta peranan rakyat Sabah dan Sarawak dalam sektor perkhidmatan awam,” katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.
Terdahulu, beliau diberi mandat mempengerusikan mesyuarat berkenaan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof merangkap Pengerusi Jawatankuasa Teknikal MTPMA63 yang kini sedang menerima rawatan kesihatan.
Turut dibincangkan ialah langkah menangani kesenjangan perkhidmatan kesihatan antara wilayah, khususnya dalam memastikan rakyat di kedua-dua negeri mendapat akses kepada kemudahan dan perkhidmatan kesihatan yang lebih baik.
Selain itu, aspek pendidikan turut menjadi agenda utama melalui usaha memperkasa sektor berkenaan sebagai asas pembangunan modal insan di Sabah dan Sarawak.
Mustapha berkata, pendekatan rundingan berterusan melalui jawatankuasa kerja dan Jawatankuasa Teknikal MTPMA63 telah menunjukkan hasil positif apabila banyak kemajuan dapat dicapai secara konsensus antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.
“Pendekatan ini berasaskan kepercayaan serta saling menghormati kepentingan kedua-dua pihak,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, semua kementerian dan agensi berkaitan turut diarahkan supaya memberi keutamaan terhadap penyelesaian baki isu MA63 agar pelaksanaannya dapat dipercepatkan.
Antara perkembangan penting yang turut direkodkan ialah peningkatan Pemberian Khas Sabah di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan kepada RM1.5 bilion bagi tahun 2026 serta penyerahan status Pelabuhan Bintulu kepada Kerajaan Negeri Sarawak pada 21 Julai lalu.






