SELANGOR: Pelari jarak jauh Sabah, Efyna Ares Lizod, menghadiahkan pingat gangsa kepada Kontinjen Sabah selepas menamatkan saingan final 10,000 meter wanita di tempat ketiga pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026, pagi tadi.
Efyna mencatat masa 42 minit 05.17 saat selepas mengharungi 25 pusingan dalam acara yang menguji ketahanan fizikal, mental serta kemampuan atlet mengawal rentak sepanjang perlumbaan.
Atlet Sabah itu tampil konsisten dalam kelompok hadapan sebelum memastikan kedudukannya di podium apabila berjaya mengekalkan momentum sehingga ke garisan penamat.
Pingat gangsa tersebut sekali gus menjadi sumbangan penting buat Kontinjen Sabah dalam saingan olahraga temasya kali ini.
Turut beraksi dalam final sama ialah seorang lagi pelari Sabah, Alya Marissa Binti Maizul Anuar, yang menamatkan perlumbaan di tempat keempat dengan catatan 42:13.32.
Alya hanya ketinggalan 8.15 saat di belakang Efyna, sekali gus menyaksikan dua wakil Sabah menguasai kelompok empat terbaik dalam acara 10,000 meter wanita.
Bagi Efyna, pencapaian tersebut membuktikan usaha dan persiapan yang dilakukan sebelum temasya membuahkan hasil, selain menjadi motivasi untuk terus memperbaiki prestasi pada saingan akan datang.- SABAH MEDIA






