Read Time:2 Minute, 59 Second
Oleh Normimie Diun
KOTA KINABALU: Kajian Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS) bagi memetakan lokasi kemiskinan di negeri ini kini mencapai kira-kira 40 peratus, dengan beberapa daerah sudah dikenal pasti untuk diteliti secara lebih terperinci.
Pengerusi IDS, Datuk Seri Azizah Mohd Dun, berkata kajian itu bukan sahaja menumpukan kepada daerah yang dikenal pasti mempunyai isu kemiskinan, malah turut mengenal pasti kampung dan kawasan tertentu bagi mendapatkan gambaran lebih tepat mengenai lokasi serta kelompok masyarakat yang terjejas.
Beliau berkata, usaha itu penting bagi mengenal pasti punca kemiskinan, golongan yang terlibat serta pendekatan yang sesuai untuk membantu menangani masalah berkenaan.
“Kita memberikan penekanan kepada isu kemiskinan dan kerja-kerja kajian terhadap masalah ini sedang berjalan dengan lancar.
“Beberapa daerah telah dikunjungi pegawai dan penyelidik kita untuk melihat apakah sebab-sebab kemiskinan berlaku, siapakah golongan yang terlibat dan bagaimana kita dapat membantu menangani masalah ini,” katanya.
Azizah berkata demikian ketika ditemui pada sidang media selepas Majlis Apresiasi Media bersama IDS di sini, pada Sabtu.
Menurutnya, pemetaan berkenaan masih berjalan kerana IDS perlu bekerjasama dengan pejabat daerah bagi mendapatkan maklumat yang tepat mengenai kawasan dan kampung yang dikenal pasti mempunyai masalah kemiskinan.
“Bukan semua kawasan dalam sesuatu daerah itu miskin. Ada tempat-tempat tertentu sahaja yang mengalami masalah kemiskinan dan kita sedang membuat pemetaan mengenainya,” katanya.
Beliau berkata, pegawai IDS sudah turun ke beberapa daerah termasuk Pitas dan Kota Marudu, manakala beliau sendiri baru-baru ini ke Semporna bagi bertemu Pegawai Daerah serta mendapatkan taklimat secara langsung mengenai lokasi yang dikenal pasti mempunyai masalah kemiskinan.
Azizah berkata, IDS akan terus mempercepatkan interaksi dengan pejabat daerah terbabit bagi mendapatkan maklumat yang diperlukan supaya kawasan yang memerlukan perhatian dapat dikenal pasti dengan lebih jelas.
“Kita mahu dapat menunjukkan inilah tempat-tempat yang perlu diberikan perhatian oleh Kerajaan Negeri Sabah dan pada masa sama kita juga berharap Kerajaan Persekutuan dapat membantu bagaimana masalah ini dapat ditangani dengan sebaik mungkin,” katanya.
Menurutnya, hasil kajian itu akan disampaikan kepada pihak berkaitan, khususnya Kerajaan Negeri Sabah, bagi membantu merangka pendekatan dan program yang lebih bersasar dalam menangani kemiskinan.
Dalam perkembangan lain, Azizah turut menyambut baik persetujuan Kerajaan Persekutuan untuk meningkatkan nisbah perwakilan Sabah dan Sarawak di Dewan Rakyat.
Beliau berkata, penambahan kerusi Parlimen itu penting bagi memastikan suara rakyat Sabah, khususnya mereka yang berada di kawasan pedalaman dan terpencil, dapat dibawa dengan lebih berkesan ke peringkat Parlimen.
“Kita mengalu-alukan apa yang telah disebut oleh Perdana Menteri berkenaan keputusan Kabinet mengenai penambahan kerusi bagi Sabah dan Sarawak.
“Harapan saya supaya ia menjadi kenyataan dalam masa yang secepat mungkin, walaupun sudah tentu akan melalui beberapa prosedur termasuk pindaan Perlembagaan dan proses di Parlimen,” katanya.
Azizah berkata, penambahan wakil rakyat di kawasan tertentu dapat membantu membawa isu setempat kepada perhatian kerajaan dengan lebih khusus.
Katanya, wakil rakyat yang memahami keadaan dan masalah kawasan masing-masing mampu menyampaikan keperluan masyarakat dengan lebih berkesan, termasuk isu kemiskinan.
“Kalau ada wakil rakyat di kawasan-kawasan tertentu, mereka akan membawa masalah ini ke Dewan Parlimen dan ini akan membolehkan perhatian diberikan dengan lebih khusus.
“Kita bukan mahu menyalahkan sesiapa, tetapi sudah tiba masanya kawasan-kawasan terpencil diberikan perhatian. Lebih ramai wakil rakyat yang mewakili kawasan-kawasan khususnya yang terpencil dapat membawa masalah itu dengan lebih berkesan,” katanya.
Mengulas keperluan penambahan kerusi berdasarkan kedudukan Sabah dan Sarawak, Azizah berkata ia penting bagi memastikan suara serta kepentingan rakyat di kawasan berkenaan mendapat representasi yang sewajarnya.
Beliau turut berharap lebih ramai wanita dan anak muda dari Sabah yang berkelayakan tampil ke hadapan untuk mewakili rakyat di Dewan Rakyat.
“Lebih ramai lebih baik. Beranilah bersuara, tetapi suara itu biarlah betul dan bukan sengaja untuk berteriak sahaja,” tegasnya.






