Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

SUKMA XXII : Aina, Leeyana tepati ramalan, emas double wanita milik Sabah

Read Time:1 Minute, 43 Second

SELANGOR : Gandingan petanque wanita Sabah Nurul Aina Ali Asmat dan Leeyana Fitrialesya Kamrudin menepati ramalan apabila muncul juara acara Double Wanita seterusnya menghadiahkan pingat emas buat negeri itu pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026.

Gandingan Sabah itu menampilkan aksi kemas dan tenang pada perlawanan final menentang Pulau Pinang sebelum mencatat kemenangan 13-6 untuk menghadiahkan satu lagi emas buat kontinjen negeri tersebut.

Sabah yang tampil agresif sejak awal permainan berjaya memanfaatkan beberapa kesilapan lawan untuk mengumpul mata, selain mengekalkan fokus dan momentum sehingga tamat perlawanan.

Kemenangan itu sekali gus mengesahkan Aina dan Leeyana sebagai pemenang pingat emas selepas mereka sebelum ini diletakkan sebagai antara prospek utama emas Sabah dalam acara berkenaan.

Pengurus pasukan Petanque Sabah, Azami Laman, berkata kemenangan 13-6 itu bukanlah sesuatu yang mudah, namun ketenangan pemain serta keupayaan mereka mengambil kesempatan daripada kesilapan lawan menjadi antara faktor utama kejayaan tersebut.

“Bukan juga kemenangan mudah 13-6 di final, tetapi atlet kita mengambil peluang daripada kesilapan lawan untuk pungut mata. Itulah kekuatan pasukan kita tadi.

“Selain itu, pemain kita memang tenang dan bersemangat untuk meraih emas,” katanya.

Menurut Azami, kehadiran Menteri serta Setiausaha Tetap (SUT) yang menyaksikan perlawanan akhir sehingga tamat turut memberikan suntikan semangat kepada kedua-dua atlet Sabah.

Beliau berkata, kata-kata perangsang yang disampaikan Menteri kepada atlet sebelum perlawanan bermula turut membantu meningkatkan motivasi mereka untuk turun beraksi dengan lebih yakin.

“Kehadiran Datuk Menteri dan juga SUT yang menonton final sampai habis membuatkan atlet kita lebih bersemangat untuk bertanding.

“Datuk Menteri juga ada berjumpa dan memberikan kata-kata perangsang sebelum final bermula dan itu sangat-sangat membantu.

“Terima kasih kepada Datuk Menteri dan rombongan,” katanya.

Azami turut memaklumkan perjuangan skuad Petanque Sabah masih belum berakhir apabila tiga lagi kategori bakal dipertandingkan, iaitu Triple Lelaki, Triple Wanita dan Mixed Doubles.

Beliau berharap pasukan Sabah mampu meneruskan momentum kemenangan dan menambah koleksi emas, khususnya menerusi acara Triple Wanita yang dilihat sebagai antara prospek terbaik pasukan.

“Kini ada tiga lagi kategori iaitu Triple Lelaki, Triple Wanita dan Mixed Doubles. Harap boleh sumbang emas lagi. Prospek ialah Triple Wanita,” katanya. – SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE