Read Time:2 Minute, 19 Second
BEAUFORT: Kekuatan sesebuah masyarakat bukan hanya diukur melalui pencapaian ekonomi dan kemajuan fizikal, tetapi turut bergantung pada sejauh mana masyarakat itu mampu mempertahankan identiti, budaya, bahasa dan nilai khazanah yang diwarisi daripada generasi terdahulu.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata masyarakat Bisaya mempunyai khazanah budaya yang cukup bernilai, termasuk keunikan bahasa, adat resam, pakaian tradisional, seni tarian, muzik serta paluan Bagandang yang perlu terus dipelihara dan dipertahankan.
Beliau berkata, generasi muda tidak seharusnya sekadar menjadi pemerhati kepada khazanah budaya sendiri, sebaliknya perlu tampil sebagai pewaris, penggerak dan pelindung identiti masyarakat mereka.
Katanya, Adau Janang Gayuh bukan sekadar acara kebudayaan atau pesta keramaian, malah manifestasi penghormatan kepada kepimpinan masyarakat serta simbol perpaduan yang menyatukan seluruh masyarakat Bisaya di negeri ini.
Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Majlis Perasmian Pembukaan Adau Janang Gayuh 2026 di Dataran Bagandang, di sini, hari ini.
Teks ucapan Hajiji dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti Negeri, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam.
Hajiji berkata, perayaan yang berlangsung selama empat hari bermula 26 hingga 29 November itu menyediakan pelbagai pengisian merangkumi aspek kebudayaan, pendidikan, kerohanian, ekonomi, keusahawanan, sukan rakyat dan pembangunan komuniti.
Bertemakan ‘Memperkasa Masyarakat Bisaya’, beliau berkata tema itu amat bertepatan dengan aspirasi untuk melihat masyarakat Bisaya terus maju, berdaya saing dan mempunyai jati diri yang kukuh dalam mendepani cabaran masa hadapan.
Selain aspek kebudayaan, beliau berkata, Adau Janang Gayuh juga berpotensi merancakkan aktiviti ekonomi masyarakat setempat menerusi penganjuran gerai jualan, pameran produk tempatan, kraftangan dan makanan tradisional yang memberi peluang kepada usahawan kecil serta pengusaha komuniti mempromosikan produk masing-masing.
Beliau turut tertarik dengan usaha penganjur menyediakan pelbagai aktiviti yang mengetengahkan keunikan makanan tradisional masyarakat Bisaya, termasuk penyediaan 20 kaunter makan ambuyat yang berpotensi menjadi tarikan pelancongan berasaskan budaya dan makanan tempatan.
Hajiji turut menghargai usaha Persatuan Bisaya Bersatu Sabah (PBBS) memasukkan elemen pendidikan menerusi penyerahan sumbangan pendidikan kepada pelajar, anugerah pendidikan, seminar kerjaya serta aktiviti pembangunan kepimpinan.
Katanya, inisiatif itu membuktikan persatuan bukan sahaja berperanan memelihara aspek budaya, tetapi turut mengambil tanggungjawab terhadap masa depan generasi muda.
Beliau berkata, masyarakat Bisaya adalah sebahagian daripada keluarga besar rakyat Sabah yang bersama-sama menyumbang kepada pembangunan, kemakmuran dan keharmonian negeri ini.
Sehubungan itu, beliau berharap Adau Janang Gayuh terus menjadi platform yang menghubungkan masyarakat Bisaya dengan masyarakat etnik lain, sekali gus memperkukuh semangat persaudaraan, hormat-menghormati dan toleransi yang sekian lama menjadi asas keharmonian Sabah.
Dalam masa sama, Hajiji berharap PBBS terus memperkukuh organisasi, memperluas jaringan kerjasama dengan agensi kerajaan, sektor swasta dan pertubuhan masyarakat serta melaksanakan lebih banyak program yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.
Beliau turut berharap Adau Janang Gayuh dijadikan acara tahunan yang terus berkembang dari segi kualiti, penyertaan dan impaknya kepada masyarakat, sekaligus menjadi lambang penyatuan, kebanggaan dan tekad masyarakat Bisaya untuk maju bersama-sama dalam arus pembangunan negeri Sabah.





