Read Time:2 Minute, 48 Second
KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) kini memasuki fasa baharu dalam usaha memperkukuh pengurusan tenaga dan kelestarian kampus menerusi pengoperasian Sistem Solar Fotovolta berkapasiti 10.58 Megawatt peak (MWp).
Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor, berkata sistem berkenaan secara rasmi memasuki operasi komersial pada 18 September 2026 selepas melalui proses pembangunan, pemasangan, pengujian dan pentauliahan.
Katanya, pencapaian itu mencerminkan komitmen UMS dalam memanfaatkan teknologi hijau dan tenaga boleh diperbaharui sebagai sebahagian daripada usaha menyokong pembangunan mampan.
“Projek ini telah melalui proses pembangunan, pemasangan, pengujian dan pentauliahan sebelum memasuki operasi komersial pada 18 September 2026.

“Pencapaian ini menunjukkan bahawa institusi pendidikan tinggi juga boleh memainkan peranan yang nyata dalam penggunaan teknologi hijau dan tenaga boleh diperbaharui,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sistem Solar Fotovolta UMS di Dewan Bankuasi UMS, di sini, pada Rabu.
Menurut Kasim, Sabah mempunyai sumber semula jadi yang luas dan potensi besar untuk pembangunan tenaga boleh diperbaharui.
Katanya, usaha memanfaatkan sumber berkenaan secara bertanggungjawab dan mampan penting bagi menyokong pembangunan negeri dalam jangka panjang.
Sistem berkapasiti 10.58MWp itu dilaksanakan menerusi pemasangan panel solar di atas bumbung bangunan serta menggunakan konsep Building Integrated Photovoltaic (BIPV), termasuk pemasangan panel pada struktur berbumbung seperti kawasan parkir kenderaan di sekitar kampus.
Sementara itu, Pengarah Pusat Pelaburan, Endowmen dan Wakaf UMS, Dr. Azmi Abd. Majid berkata projek berkenaan bermula selepas UMS memeterai Solar Supply Agreement bersama Quantum Sustainable Energy Sdn. Bhd. pada 2 Disember 2024.
Katanya, projek itu pada asalnya dirancang bagi memperluas penggunaan tenaga boleh diperbaharui, mengoptimumkan penggunaan tenaga dan menyokong agenda kelestarian kampus.

“Hari ini, aspirasi tersebut telah diterjemahkan kepada satu sistem yang siap dibangunkan dan telah memasuki operasi komersial.
“Majlis pada hari ini bukan sekadar satu acara pelancaran, tetapi menandakan secara rasmi peralihan projek ini daripada fasa pembangunan kepada fasa pengoperasian,” katanya.
Dr. Azmi berkata, berdasarkan perancangan asal projek, sistem solar itu diunjurkan berpotensi memberikan penjimatan kos elektrik sehingga sekitar RM65 juta sepanjang tempoh projek selama 25 tahun.
Bagaimanapun, katanya, unjuran berkenaan akan dinilai berdasarkan prestasi sebenar sistem sepanjang tempoh pengoperasian.
Menurutnya, nilai projek itu bukan hanya diukur dari aspek penjimatan kos, malah turut merangkumi potensi menjadikan kampus UMS sebagai ruang pembelajaran dan penyelidikan berkaitan tenaga boleh baharu.
Katanya, data dan pengalaman daripada pengoperasian sistem berkenaan diharap dapat membuka lebih banyak ruang kepada penyelidikan, inovasi dan pembangunan kepakaran dalam bidang tenaga boleh baharu, kecekapan tenaga serta teknologi hijau.
Dalam pada itu, Kasim berkata UMS mempunyai kedudukan penting dalam pembangunan Sabah, bukan sahaja dalam aspek pendidikan dan penyelidikan, tetapi turut berpotensi menjadi tapak demonstrasi teknologi serta penyelesaian yang boleh memberi manfaat kepada negeri.
Beliau berkata sistem solar itu boleh dimanfaatkan sebagai platform untuk pelajar dan penyelidik mengumpul data, membina kepakaran serta menghasilkan inovasi berkaitan keperluan Sabah.
“Kita berharap sistem ini dapat beroperasi dengan baik dan memberi manfaat berpanjangan kepada UMS, di samping menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif tenaga boleh diperbaharui dan kelestarian pada masa hadapan,” katanya.
Kasim turut menekankan kepentingan kerjasama antara universiti, kerajaan, agensi dan industri dalam memperkukuh pembangunan teknologi hijau, pembangunan bakat dan inovasi.
Projek berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama Quantum Sustainable Energy Sdn. Bhd., Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS), Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB), Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) serta pihak berkaitan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua jabatan, pusat, bahagian dan warga UMS yang terlibat secara langsung atau tidak langsung sejak peringkat perancangan sehingga sistem tersebut berjaya memasuki operasi komersial.





