Read Time:2 Minute, 38 Second
Oleh Normimie Diun
GUANGZHOU: Lawatan ke pusat industri akuakultur di Nansha, Guangzhou membuka ruang kepada Sabah untuk meneroka peluang perniagaan baharu, membangunkan pasaran serta mewujudkan peluang pekerjaan menerusi kerjasama teknologi dan pembangunan rantaian industri perikanan.

Presiden Dewan Perdagangan Malaysia-China (MCCC) Sabah, Datuk Dexter Lau berkata, Sabah mempunyai potensi besar dalam sektor akuakultur yang boleh dimanfaatkan sekiranya model pembangunan industri di China disesuaikan dengan sumber dan keperluan tempatan.
Beliau berkata, hasil tinjauan itu memperlihatkan peluang perniagaan yang luas merangkumi keseluruhan rantaian industri, daripada pembiakan benih, penternakan, pemprosesan sehingga pemasaran produk perikanan.
Katanya, pendekatan pembangunan secara bersepadu itu bukan sahaja mampu membuka pasaran baharu, malah mewujudkan peluang pekerjaan serta meningkatkan penyertaan usahawan tempatan dalam industri berkenaan.
“Apa yang saya lihat di sini sangat menarik kerana terdapat begitu banyak peluang perniagaan untuk Sabah. Apa yang perlu kita lakukan ialah menyesuaikan model ini dengan keadaan dan keperluan negeri.
“Melalui penyesuaian itu, kita boleh mewujudkan pekerjaan, membangunkan pasaran dan membuka lebih banyak peluang kepada rakyat Sabah,” katanya pada sidang media selepas lawatan ke Nansha Fisheries Industrial Park di sini, hari ini.
Dexter berkata, MCCC Sabah bersedia memainkan peranan lebih aktif dalam menyokong Kerajaan Negeri dan Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (MAFFI) bagi meneroka peluang kerjasama serta membawa produk tempatan ke pasaran lebih luas.
Menurutnya, usaha berkenaan tidak seharusnya hanya tertumpu kepada aspek kewangan dan pelaburan, sebaliknya turut merangkumi pembangunan sumber, penghasilan produk, pendedahan pasaran serta pembentukan rangkaian perniagaan.
Beliau turut melihat potensi kerjasama dengan persatuan industri, termasuk persatuan cef, bagi membangunkan menu berasaskan hasil perikanan tempatan serta menyediakan latihan kepada tenaga kerja.
Katanya, pendekatan itu dapat meningkatkan nilai tambah produk, memperluas penggunaannya dalam sektor makanan dan membuka peluang perniagaan baharu kepada pengusaha tempatan.
“Kita perlu mengenal pasti produk terbaik Sabah dan memastikan produk itu dapat dibawa keluar ke pasaran. Apabila produk kita mendapat pendedahan lebih luas, lebih banyak peluang akan dapat diwujudkan untuk membantu rakyat dan usahawan tempatan,” katanya.
Sementara itu pada sidang media sama, Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar berkata, lawatan ke pusat industri Nansha memberi pelbagai idea baharu, khususnya bagi merancang pembangunan kawasan seluas kira-kira 50 ekar di Numbak, Sepanggar yang diperuntukkan kepada Sabah Fish Marketing Sdn Bhd (SAFMA).
Katanya, kawasan berkenaan berpotensi dibangunkan sebagai pusat sehenti industri perikanan dan akuakultur yang merangkumi penyelidikan, pembangunan, pengeluaran benih, penternakan, pemprosesan serta pemasaran.
Menurutnya, pembangunan itu juga selari dengan perancangan kerajaan negeri untuk memindahkan operasi SAFMA dari pusat bandar ke Numbak dalam tempoh terdekat.
“Pihak pengurusan SAFMA turut mengadakan perbincangan awal bagi menjalin kerjasama dengan pengurusan pusat industri Nansha, khususnya dalam aspek pemindahan teknologi dengan sokongan MCCC Sabah dan Datuk Dexter.
” Antara bidang yang dikenal pasti berpotensi dibangunkan di Sabah termasuk industri penternakan ketam dan pemprosesan hasil perikanan, selain memperluas aktiviti pembiakan baka ikan yang sudah dilaksanakan di beberapa lokasi termasuk Kampung Laya-Laya, Tuaran,” katanya.
Jelas Jamawi lagi, pembangunan industri itu perlu menghubungkan keseluruhan rantaian pengeluaran, bermula daripada penyediaan benih, penternakan, pengurusan kualiti air, penuaian, pemprosesan sehingga pemasaran produk kepada pengguna.
“Usaha berkenaan turut menyokong agenda ekonomi biru negeri di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), sekali gus membuka ruang kepada pembangunan industri akuakultur yang lebih bersepadu dan berdaya saing,” ujarnya.





