Read Time:1 Minute, 23 Second
LAHAD DATU: Kehadiran buaya di perairan Laut Sulu berhampiran Kampung Tambisan, di sini, mencetuskan kebimbangan penduduk, khususnya ibu bapa yang anak mereka terpaksa menggunakan bot untuk ke sekolah setiap hari.
Penduduk, Faridah Sahibul, 38, berkata perjalanan kira-kira 10 minit menaiki bot itu menimbulkan keresahan berikutan kelibat buaya beberapa kali dilihat berhampiran jeti dan kawasan penempatan penduduk.
Menurutnya, keselamatan murid perlu diberi perhatian serius kerana bot menjadi pengangkutan utama mereka untuk meneruskan persekolahan.
“Kami risau setiap kali anak-anak menaiki bot untuk ke sekolah kerana kawasan perairan itu beberapa kali dikesan mempunyai kelibat buaya.
“Walaupun perjalanan hanya mengambil masa kira-kira 10 minit, kami tetap bimbang kerana keselamatan mereka menjadi keutamaan,” katanya ketika dihubungi Sabah Media, di sini, pada Khamis.
Sebelum ini, seorang pengguna Threads, @labu8_7, turut berkongsi rakaman yang memaparkan seekor haiwan dipercayai buaya timbul di permukaan air berhampiran laluan bot yang digunakan murid.
Faridah berkata, penduduk berharap pihak berkuasa berkaitan dapat mengambil tindakan lebih berkesan bagi menangani masalah itu yang didakwa sudah dimaklumkan sebelum ini.
Katanya, kemunculan buaya yang masih berlaku menimbulkan keresahan kerana penduduk tidak mahu keselamatan murid terancam ketika menggunakan laluan berkenaan.
“Kami berharap pihak berkuasa dapat melakukan pemantauan dan mengambil tindakan sewajarnya dengan segera. Jangan tunggu sehingga berlaku kejadian yang tidak diingini. Mencegah lebih baik daripada menyesal kemudian,” katanya.
Beliau berkata, laluan berkenaan digunakan murid dari kawasan Tambisan Darat dan Tambisan Pulau untuk berulang-alik ke Sekolah Kebangsaan (SK) Tambisan.
Tambahnya, perkara itu sudah dimaklumkan kepada pihak berkuasa berkaitan dan beberapa usaha menangani kehadiran reptilia berkenaan turut dilaksanakan, termasuk tindakan menembak buaya yang dikesan.
Bagaimanapun, katanya, kelibat buaya masih dilihat di kawasan berkenaan meskipun beberapa usaha sudah dilakukan. – SABAH MEDIA





