Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Sabah Mampu Lindungi Kebebasan Beragama, Keselamatan Awam Serentak – MP Kota Kinabalu

Read Time:2 Minute, 7 Second

KOTA KINABALU: Sabah tidak seharusnya dipaksa memilih antara melindungi kebebasan beragama dengan menjaga keselamatan awam susulan kontroversi berhubung cadangan penganjuran persembahan kumpulan gospel dari Amerika Syarikat di Kota Kinabalu hujung bulan ini.

Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Datuk Chan Foong Hin berkata, kedua-dua perkara itu boleh dilindungi secara serentak menerusi pertimbangan yang adil, telus serta berlandaskan undang-undang dan keperluan keselamatan.

Beliau berkata, Sabah sejak sekian lama menjadi contoh kepelbagaian agama, sikap saling menghormati serta kehidupan bersama secara harmoni membabitkan masyarakat Islam, Kristian, Buddha dan penganut agama lain.

“Sabah sentiasa menjadi contoh kepelbagaian agama, saling menghormati dan semangat hidup bersama. Umat Islam, Kristian, Buddha serta penganut agama lain telah hidup secara aman bersama selama beberapa generasi.

“Ini adalah sebahagian daripada karakter dan kekuatan Sabah yang mesti terus kita lindungi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Chan berkata, kerajaan negeri perlu berpegang kepada satu prinsip mudah apabila mempertimbangkan permohonan penganjur bagi acara berkenaan.

Menurutnya, sesuatu acara keagamaan yang sah seharusnya dibenarkan berlangsung selagi penganjur mematuhi undang-undang, peraturan dan keperluan keselamatan yang munasabah.

Katanya, sekiranya wujud kebimbangan keselamatan yang tulen, perkara itu perlu dinilai secara profesional dan teknikal serta ditangani menerusi langkah keselamatan sewajarnya.

“Bantahan dan kemungkinan berlakunya protes tidak seharusnya dengan sendirinya menjadi alasan untuk menghalang aktiviti sah sesuatu komuniti,” katanya.

Pada masa sama, Chan menegaskan sokongan terhadap hak masyarakat Kristian di Sabah untuk menganjurkan dan menghadiri konsert gospel tidak bermaksud seseorang perlu bersetuju atau menyokong pandangan politik artis yang terlibat.

Katanya, mempertahankan kebebasan beragama juga tidak memerlukan masyarakat menerima setiap kenyataan atau pendirian politik yang pernah disuarakan seseorang artis.

“Begitu juga sebaliknya. Ketidaksetujuan terhadap pandangan politik seseorang artis tidak seharusnya, dengan sendirinya, menjadi alasan untuk mengehadkan hak beragama rakyat Sabah,” katanya.

Chan berkata, sebaik sahaja permohonan rasmi dikemukakan, ia perlu dinilai secara objektif berdasarkan syarat dan peraturan berkaitan, bukannya tekanan politik daripada mana-mana pihak.

Sekiranya terdapat isu keselamatan, katanya, pihak berkuasa boleh menetapkan syarat yang jelas dan telus termasuk berkaitan keselamatan, kawalan orang ramai serta keperluan lain yang perlu dipatuhi penganjur.

“Sabah tidak perlu memilih antara melindungi kebebasan beragama dan keselamatan awam. Kita boleh melindungi kedua-duanya,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa sebarang keputusan membabitkan aktiviti keagamaan di negeri itu perlu mengambil kira fabrik sosial Sabah sendiri serta tradisi keharmonian dan toleransi agama yang telah lama menjadi identiti negeri berkenaan.

Menurut Chan, masyarakat juga perlu berhati-hati agar perdebatan agama dan politik yang semakin memecah-belahkan di tempat lain tidak dibawa masuk sehingga menjejaskan keharmonian Sabah.

“Kepelbagaian kita tidak pernah menjadi kelemahan. Ia adalah antara kekuatan terbesar Sabah. Marilah kita memeliharanya,” katanya.

LEAVE A RESPONSE