Read Time:2 Minute, 23 Second
KOTA KINABALU: Pendidikan Al-Quran mempunyai peranan penting dalam membentuk insan yang berilmu, beriman, berakhlak mulia dan bertanggungjawab, selaras dengan usaha kerajaan negeri membangunkan modal insan berkualiti, berintegriti dan berdaya saing.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata kerajaan negeri sentiasa menghargai peranan institusi pendidikan Islam, termasuk sekolah agama, pondok dan pusat tahfiz, dalam membantu membentuk sahsiah serta jati diri generasi muda.
Beliau berkata, pendidikan tahfiz perlu terus diperkasakan melalui pendekatan yang menyeluruh dan seimbang, bukan sahaja dalam bidang hafazan dan ilmu agama, tetapi turut merangkumi ilmu akademik, teknologi, kemahiran komunikasi, kepimpinan, keusahawanan serta bidang teknikal dan vokasional.
“Kita mahu melahirkan generasi Al-Quran yang bukan sahaja baik dari sudut hafazan, tetapi turut cemerlang dalam pelajaran, mempunyai kemahiran, berdisiplin serta mampu memimpin dan berbakti kepada masyarakat,” katanya pada Majlis Perasmian Bangunan Pejabat Maahad Tahfiz Sulaimaniyyah (MTS) Wilayah Sabah dan Sarawak di Taman Sulaman, di sini, pada Ahad.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Isnin Aliasnih.
Hajiji berkata, pembangunan sesebuah negeri tidak seharusnya hanya diukur berdasarkan kemajuan fizikal dan pertumbuhan ekonomi semata-mata, sebaliknya turut merangkumi pembinaan manusia yang berilmu, berakhlak serta sentiasa berpegang teguh kepada ajaran agama.
Katanya, generasi yang dididik dengan Al-Quran bukan sahaja mampu menjadi imam, pendakwah atau pendidik, malah berpotensi menjadi pemimpin, profesional, usahawan serta anggota masyarakat yang memberi sumbangan besar kepada pembangunan negeri dan negara.
Beliau berkata, pembukaan bangunan pejabat MTS Wilayah Sabah dan Sarawak merupakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha memperluas dan memperkukuh jaringan pendidikan Maahad Tahfiz Sulaimaniyyah di Sabah dan Sarawak.
“Bangunan ini bukan sekadar sebuah pusat pentadbiran. Lebih daripada itu, ia merupakan lambang komitmen, kesungguhan dan cita-cita besar untuk melahirkan generasi yang menghafaz, memahami serta menghayati ajaran Al-Quran dalam kehidupan mereka,” katanya.
Hajiji turut menggalakkan MTS menjalinkan lebih banyak kerjasama strategik dengan institusi pengajian tinggi, agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan, badan bukan kerajaan serta pihak swasta, khususnya dalam pembangunan kurikulum, latihan perguruan, pendidikan digital, kemahiran teknikal dan vokasional, keusahawanan serta peluang melanjutkan pengajian.

Beliau berkata, jaringan kerjasama yang kukuh dapat memastikan para pelajar tahfiz mempunyai laluan pendidikan dan kerjaya yang lebih luas serta mampu berdikari pada masa hadapan.
Ketua Menteri turut menegaskan kepentingan pengurusan institusi tahfiz yang baik, telus dan profesional, termasuk mematuhi semua peraturan dan garis panduan berkaitan keselamatan bangunan, pencegahan kebakaran, kesihatan, kebersihan serta kelayakan tenaga pengajar.
Katanya, pengurusan yang baik, telus dan profesional amat penting bagi memastikan keyakinan ibu bapa serta masyarakat terhadap institusi tahfiz terus terpelihara.
Dalam konteks Sabah yang kaya dengan kepelbagaian agama, budaya dan etnik, beliau berkata institusi pendidikan agama turut mempunyai tanggungjawab menyemai nilai kesederhanaan, kasih sayang, toleransi serta penghormatan terhadap masyarakat yang berbilang kaum dan agama.
“Ajaran Islam menuntut umatnya supaya membawa rahmat, memelihara keamanan dan membina hubungan yang baik sesama manusia. Nilai-nilai inilah yang perlu diterapkan kepada para pelajar agar mereka menjadi pendakwah melalui akhlak, ilmu dan perbuatan yang baik,” katanya.





