KOTA KINABALU: Hospital Queen Elizabeth (HQE) memohon kerjasama orang ramai bagi mengesan waris atau ahli keluarga kepada seorang pesakit lelaki warga emas yang kini berada di Jabatan Kecemasan dan Trauma sejak 9 April lalu.
Pesakit dikenali sebagai Chong Yun Ngon, 70, berbangsa Cina, dibawa ke hospital oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) selepas ditemui dalam keadaan merayau tanpa tujuan di sekitar Jalan Kuala Putatan.
Hasil pemeriksaan mendapati keadaan pesakit stabil dan telah disahkan sesuai untuk discaj, namun beliau tidak dapat mengingati maklumat berkaitan waris.
Semakan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sabah mendapati alamat terakhir pesakit adalah di Kampung Lagud, Peti Surat 42, 89907 Tenom, namun beliau tidak dapat mengingati bagaimana berada di Kota Kinabalu.
Pesakit turut memaklumkan hasrat untuk mencari seorang kakak yang dipercayai berada di sekitar Kota Kinabalu, tetapi tidak dapat memberikan maklumat lanjut.
Sehubungan itu, orang ramai yang mengenali pesakit atau mempunyai maklumat mengenai waris diminta menghubungi Pegawai Kerja Sosial Perubatan HQE, Norhidayah Md Isa di talian 088-517 555 sambungan 8522.
Kerjasama orang ramai amat dihargai bagi membantu usaha mengesan waris pesakit ini.






