Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Pusat tingkatan enam pertama di Nabawan perkasa pendidikan pedalaman

Read Time:2 Minute, 16 Second

NABAWAN: Pembinaan bangunan baharu Pusat Tingkatan Enam di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nabawan disifatkan sebagai satu pemberian bermakna kepada pelajar dan guru dalam menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih selesa, kondusif serta memenuhi keperluan pendidikan semasa.

Penolong Kanan Tingkatan Enam SMK Nabawan, Alfeus Anis berkata, pembinaan bangunan hasil usaha dan keprihatinan Ahli Parlimen Pensiangan, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup itu amat tepat pada masanya bagi menampung pertambahan pelajar baharu selain memperkemaskan pengurusan pusat berkenaan.

Beliau merakamkan penghargaan kepada Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) serta Arthur yang sentiasa memberi perhatian terhadap pembangunan pendidikan di daerah Nabawan.

Alfeus

“Terima kasih kepada Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah dan seorang pemimpin yang sangat mementingkan pendidikan di daerah Nabawan ini, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup,” katanya.

Guru Pusat Tingkatan Enam SMK Nabawan, Elvin Chan pula berkata, komitmen yang ditunjukkan Arthur memberi manfaat besar kepada warga sekolah apabila mereka kini dapat menikmati kemudahan pembelajaran yang moden dan lebih lengkap.

Menurutnya, usaha berterusan yang dilakukan oleh Arthur bersama agensi berkaitan membolehkan pusat berkenaan dibangunkan bagi kegunaan generasi muda Nabawan.

“Dengan usaha Datuk Seri dan pegawai lain, maka hari ini bangunan ini berdiri megah di sini untuk kegunaan anak-anak watan Nabawan. Kami sangat berterima kasih atas usaha tersebut,” katanya.

Seorang lagi guru berkata, pembinaan bangunan khas itu merupakan antara sumbangan besar dalam membantu memperkukuh pembangunan pendidikan anak-anak tempatan, khususnya pelajar Tingkatan Enam di kawasan pedalaman.

Katanya, sokongan berterusan yang diberikan Arthur membuktikan komitmen beliau dalam memastikan sektor pendidikan di Nabawan terus berkembang.

Sementara itu, guru pusat berkenaan, Syahril Hafizi Sulaiman berkata, manfaat terbesar yang dirasai warga sekolah ialah kemudahan pembelajaran yang lebih teratur dan selesa untuk pelajar serta guru.

“Kami berharap dapat menggunakan semua kemudahan yang disediakan dengan sebaik mungkin demi kecemerlangan pelajar,” katanya.

Projek pembinaan bangunan Pusat Tingkatan Enam itu dimulakan pada tahun 2023 dan mencatat sejarah sebagai pusat seumpamanya yang pertama diwujudkan di Nabawan.

Ketika ini, seramai 293 pelajar Tingkatan Enam SMK Nabawan bakal mengikuti pembelajaran di pusat tersebut yang dilengkapi pelbagai kemudahan khas dan moden.

Sementara itu, Arthur berkata, pembinaan pusat khas untuk guru dan pelajar Tingkatan Enam itu merupakan antara inisiatif utama dalam Pelan Pembangunan Bangsa dan Daerah Pensiangan yang menjadi fokus beliau sebagai wakil rakyat.

Menurutnya, usaha membangunkan masyarakat dan kawasan pedalaman memerlukan perancangan rapi serta pelaksanaan berterusan dalam jangka panjang.

“Membangunkan bangsa dan daerah pedalaman kita bukanlah mudah dan memerlukan perancangan yang baik serta pelaksanaan pelan tindakan jangka panjang yang tersusun.

“Perancangan Pelan Pembangunan ini bermula dengan pembinaan rangkaian jalan raya utama yang lebih baik sehingga ke Pagalungan-Pensiangan dan seterusnya ke sempadan Kalimantan, Indonesia.

“Ia turut merangkumi pembangunan 55 menara telekomunikasi, sebuah kilang kopi di Sapulut, kemudahan prasarana ekonomi serta pembangunan pendidikan termasuk Pusat Tingkatan Enam SMK Nabawan,” katanya.

LEAVE A RESPONSE