KOTA KINABALU: Seorang lelaki dipenjara 17 bulan dan dikenakan dua sebatan oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku bersalah mencabul seorang juruwang wanita.
Majistret Marilyn Kelvin menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Fazrul Mohd Abd Rashid, 30, selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.
Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan, jika sabit kesalahan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh menggunakan kekerasan jenayah dengan niat mencabul kehormatan mangsa berusia 22 tahun di kawasan lua bangunan sebuah apartmen di Manggatal pada 21 Julai lalu.
Pendakwaan memaklumkan mahkamah bahawa ketika kejadian, mangsa sedang berjalan pulang ke rumah dalam keadaan hujan lebat sambil memegang payung dan membawa banyak barang di tangannya.
Mangsa yang terkejut kemudian menjerit memanggil ibunya yang ketika itu berjalan perlahan sedikit di belakang mangsa.
Kejadian itu turut disaksikan seorang saksi sebelum mangsa membuat laporan polis terhadap tertuduh.
Tertuduh kemudian ditahan di sebuah rumah di apartmen berkenaan pada 22 Julai untuk tindakan lanjut.
Tertuduh tidak diwakili peguam, manakala Timbalan Pendakwa Raya Ronnie AK Anthony mengendalikan pendakwaan.






