Read Time:2 Minute, 12 Second
KUDAT: Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah (PBNS) dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah (UMS) melaksanakan Projek Komuniti Pemasangan Sistem Solar di Pulau Tigabu, Banggi, di sini bagi meningkatkan akses tenaga elektrik dan kesejahteraan penduduk luar bandar.
Projek berkenaan membabitkan pemasangan sistem solar hibrid untuk 25 buah rumah dan sebuah masjid, yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 100 penduduk kampung.
Majlis menandatangani aku janji bersama penerima manfaat yang berlangsung di Pulau Tigabu, hari ini, menjadi simbol komitmen bersama PBNS, UMS dan komuniti setempat bagi memastikan projek berkenaan dilaksanakan dengan lancar serta mencapai matlamat yang ditetapkan.
Menurut pelan pengurusan projek, inisiatif itu bukan sahaja bertujuan menyediakan akses kepada bekalan tenaga elektrik yang lebih stabil, malah diharap dapat meningkatkan kesejahteraan hidup penduduk, memudahkan pelaksanaan aktiviti komuniti serta menyokong pembangunan ekonomi setempat.
Dekan Fakulti Sains dan Teknologi UMS, Profesor Ts. Gs. Dr. Rodeano Roslee berkata, UMS berbangga dapat menyumbangkan kepakaran teknikal dalam pelaksanaan projek berkenaan.
“Pemasangan sistem solar bukan sahaja memberi akses tenaga elektrik kepada komuniti Pulau Tigabu, tetapi juga membuka ruang kepada pembangunan kapasiti masyarakat melalui latihan dan pendidikan.
“Kami percaya projek ini akan menjadi model pembangunan mampan yang boleh dicontohi di kawasan luar bandar lain di Sabah,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) PBNS, Mohd Arif Hairal berkata, PBNS komited memastikan projek berkenaan dilaksanakan dengan teliti supaya manfaatnya dapat dirasai secara langsung oleh golongan asnaf fakir miskin di Pulau Tigabu.
Katanya, majlis aku janji itu turut mencerminkan kesepakatan antara PBNS, UMS dan komuniti setempat dalam menjayakan inisiatif yang mampu membawa perubahan positif kepada kehidupan penduduk.
“PBNS komited memastikan projek ini dilaksanakan dengan teliti dan memberi manfaat langsung kepada asnaf fakir miskin di Pulau Tigabu.
“Kami yakin usaha ini akan membawa perubahan positif yang berpanjangan,” katanya.
Sementara ityu, Ketua Projek yang juga Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa), Fakulti Sains dan Teknologi UMS, Profesor Madya Ts. Dr. Mohamad Zul Hilmey Makmud berkata, projek berkenaan bukan sekadar menyediakan kemudahan tenaga elektrik kepada penduduk, malah menjadi platform pembelajaran dan pembangunan kapasiti masyarakat.
Beliau berkata, dengan sokongan kepakaran teknikal UMS, projek itu akan dilaksanakan secara sistematik termasuk menyediakan latihan asas berkaitan sistem solar kepada penduduk.
“Latihan ini penting supaya penduduk mempunyai pengetahuan asas untuk mengurus dan menyelenggara kemudahan ini secara berterusan.
“Kami yakin projek ini akan menjadi pemangkin kepada kesejahteraan dan pembangunan mampan komuniti luar bandar,” katanya.
Projek di Pulau Tigabu itu merupakan projek komuniti solar ketiga yang dilaksanakan PBNS, selepas projek di Kampung Lok Dangkaan, Pitas dan Kampung Nusa-Nusa, Banggi.
Kerjasama strategik antara PBNS dan UMS itu turut dilihat sebagai satu contoh bagaimana gabungan kepakaran dalam aspek pengurusan, teknikal dan pembangunan komuniti mampu menghasilkan inisiatif yang memberi impak langsung kepada masyarakat luar bandar Sabah.






