Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Kes Ops Water: Pendakwaan fail rayuan terhadap keputusan mahkamah

Read Time:1 Minute, 56 Second

KOTA KINABALU: Pihak pendakwaan telah memfailkan rayuan terhadap hukuman yang disifatkan rendah yang dikenakan ke atas bekas Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah, Ag Mohd Tahir Mohd Talib.

Bahagian Komunikasi Strategik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu kenyataan hari ini berkata, rayuan tersebut telah difailkan pada 25 Mei 2026.

Selain itu, rayuan turut difailkan terhadap keputusan mahkamah yang melepaskan dan membebaskan isteri Ag Mohd Tahir, Fauziah Piut, serta bekas Timbalan Pengarah Jabatan Air Sabah, Lim Lam Beng.

Pada 19 Mei lalu, Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kota Kinabalu telah mensabitkan Ag Mohd Tahir atas 12 pertuduhan pengubahan wang haram di bawah Seksyen 4(1)(a) dan Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) melibatkan nilai keseluruhan kira-kira RM49.7 juta.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan kesemua hukuman penjara berjalan serentak, menjadikan hukuman keseluruhan yang perlu dijalani tertuduh adalah lapan tahun penjara.

Mahkamah turut mengenakan denda keseluruhan RM284.3 juta terhadap Ag Mohd Tahir. Sekiranya gagal membayar denda tersebut, tertuduh berdepan hukuman penjara tambahan selama 78 bulan.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan pembayaran denda sehingga proses rayuan di Mahkamah Tinggi selesai, dengan syarat jaminan sedia ada dikekalkan.

Dalam prosiding yang sama, Fauziah Piut dilepaskan dan dibebaskan daripada 19 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan kira-kira RM2.2 juta, manakala bekas Timbalan Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah, Lim Lam Beng, turut dilepaskan dan dibebaskan daripada empat pertuduhan melibatkan kira-kira RM2.3 juta.

Mahkamah juga mendapati kedua-dua Ag Mohd Tahir dan Fauziah Piut tidak bersalah terhadap dua pertuduhan bersama melibatkan aset bernilai kira-kira RM6.5 juta.

Kes berprofil tinggi yang dikenali sebagai Ops Water itu bermula susulan siasatan pada Oktober 2016 yang menyasarkan kegiatan pengubahan wang haram dan pemilikan aset yang dipercayai hasil aktiviti haram melibatkan pegawai kanan Jabatan Air Negeri Sabah.

Ketiga-tiga tertuduh didakwa pada 29 Disember 2016 dan melalui perbicaraan yang berlarutan hampir satu dekad sebelum keputusan disampaikan oleh Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kota Kinabalu.

Mahkamah turut memerintahkan supaya permohonan perlucuthakan harta di bawah Seksyen 55 AMLATFPUAA 2001 melibatkan kesemua tertuduh ditangguhkan sehingga proses rayuan selesai sepenuhnya.

Status quo semua barang kes juga dikekalkan dan sebarang pemulangan harta hanya boleh dibuat selepas pelupusan muktamad rayuan di mahkamah yang lebih tinggi.

LEAVE A RESPONSE