KUNDASANG: Aliran air berlumpur bersama batu dan tanah melimpah ke permukaan jalan raya di Kundasang Lama susulan hujan lebat, sekali gus berpotensi membahayakan pengguna jalan raya.
Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menerusi kenyataan di laman Facebook rasminya hari ini memaklumkan, Pusat Kawalan Operasi Unit (PKOU) Kundasang menerima laporan orang awam berhubung kejadian itu sebelum anggota APM PUPA Kundasang digerakkan ke lokasi untuk menjalankan pemantauan dan penilaian keadaan.
Pemantauan yang dijalankan antara jam 4.43 petang hingga 6.22 petang tadi (11 Oktober) itu turut mendapati sebuah rumah penduduk terjejas akibat takungan dan limpahan air susulan hujan lebat berterusan.
Menurut APM, keadaan aliran air deras di atas jalan raya berkenaan berpotensi menjejaskan keselamatan pengguna serta kelancaran lalu lintas.
Anggota APM turut memberikan nasihat kepada penduduk supaya sentiasa berwaspada ketika hujan lebat dan keadaan cuaca tidak menentu, selain berhati-hati ketika melalui kawasan terjejas.
Orang ramai juga dinasihatkan supaya segera melaporkan sebarang kejadian kecemasan kepada pihak berkuasa.
APM memaklumkan PKOU Kundasang akan terus berada dalam keadaan siap siaga dan memantau perkembangan situasi dari semasa ke semasa bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
Sebarang kecemasan boleh dilaporkan melalui talian kecemasan NG999 atau PKOU Kundasang di talian 088-888991.





