Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Lima pegawai TUDM antara 11 ditahan dalam kes syabu RM4.83 juta

Read Time:2 Minute, 4 Second

Kuala Lumpur :- Polis menahan 11 individu, termasuk lima pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), bagi membantu siasatan berhubung kegiatan pengedaran 96.64 kilogram dadah disyaki methamphetamine atau syabu bernilai RM4.83 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan, berkata lima pegawai TUDM dan enam orang awam itu ditahan dalam beberapa siri operasi di sekitar Lembah Klang dan Labuan pada 17 November lalu.

Beliau berkata sindiket pengedaran dadah rentas sempadan itu dibongkar hasil kerjasama risikan antara JSJN Bukit Aman dengan Cawangan Provos Marsyal TUDM.

Menurutnya, sindiket berkenaan dipercayai aktif sejak Julai lalu dan menggunakan kemudahan pengangkutan udara tentera untuk menyeludup dadah dari Semenanjung Malaysia ke Sabah sebelum diedarkan ke luar negara, khususnya ke Filipina dan Indonesia.

“Hasil siasatan mendapati dua daripada individu awam yang ditahan dipercayai berperanan sebagai koordinator dalam mengatur serta menyelaraskan kegiatan pengedaran dadah sindiket berkenaan.

“JSJN kini giat mengesan seorang lagi lelaki warga tempatan yang dipercayai ketua sindiket bagi membongkar keseluruhan struktur organisasi serta mengenal pasti pihak lain yang terbabit,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Hussein berkata lima pegawai TUDM itu direman selama tujuh hari, dari 18 hingga 24 November, manakala enam orang awam direman antara dua hingga lima hari.

Katanya, ujian saringan awal air kencing mendapati dua daripada enam orang awam terbabit positif methamphetamine, manakala seorang lagi mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

Beliau berkata dadah yang dirampas dianggarkan berpotensi menjejaskan sehingga 483,000 individu sekiranya berjaya diedarkan.

Polis turut menyita dua kenderaan, masing-masing Honda CR-V dan Toyota Vios, dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM126,062, mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Menurut Hussein, seksyen itu memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan tidak kurang daripada 12 kali jika hukuman mati tidak dijatuhkan, sekiranya sabit kesalahan.

Sebelum itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata antara individu yang disyaki terbabit dalam kes berkenaan ialah juruterbang serta pegawai TUDM berpangkat leftenan dan kapten. Beliau menegaskan tindakan tegas perlu diambil tanpa mengira pangkat atau kedudukan.

Bercakap pada sidang media penutup Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di Shenzhen, China, hari ini, Anwar menyifatkan kes itu sebagai “harapkan pagar, pagar makan padi”. Katanya, beliau mendedahkan perkara itu bagi mengelakkan tanggapan bahawa kerajaan sengaja melengah-lengahkan tindakan ketika polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melengkapkan siasatan.

Anwar berkata beliau sudah membincangkan kes itu dengan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, serta kepimpinan tertinggi ATM.

LEAVE A RESPONSE