Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Peluang selamatkan Zara mungkin terlepas selepas dibiarkan bersendirian, kata pakar

Read Time:2 Minute, 7 Second

Oleh J Evachel John

KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner diberitahu peluang menyelamatkan Zara Qairina Mahathir mungkin terlepas apabila remaja itu dibiarkan bersendirian selepas konfrontasi dengan sekumpulan pelajar pada malam 15 Julai 2025.

Meneruskan keterangannya hari ini, Pakar Perunding Psikiatri, Dr Wong Haw Huo, berkata itulah “golden time” untuk campur tangan kerana Zara masih berada di dalam tandas sambil menunggu seseorang membantu dan mendengar luahannya.

Menurut beliau, berdasarkan kenyataan saksi, Zara menangis ketika cuba membuktikan dirinya tidak bersalah, namun tidak dipujuk atau ditenangkan oleh sesiapa sebelum mengunci dirinya di dalam sebuah kubikel tandas dan bersendirian sehingga lewat malam.

Beliau berkata, tiga pelajar kemudian pergi ke tandas dan melihat Zara mengintai keluar dari kubikel buat seketika sebelum mereka berasa takut lalu melarikan diri.

Dr Wong berkata, tindakan itu mungkin petanda bahawa Zara berharap ada seseorang yang menghampirinya, mendengar luahannya dan meyakinkannya bahawa dia masih diterima dalam kumpulan berkenaan.

Beliau menambah, seorang daripada pelajar terbabit memaklumkan kepada seorang pelajar senior mengenai kehadiran Zara di dalam tandas, namun pelajar senior itu didakwa berlalu pergi tanpa memberikan sebarang respons.

“Itulah ‘golden time’ untuk campur tangan. Zara masih berada di situ, menunggu untuk dibantu dan menunggu seseorang mendengar luahannya. Dia berada dalam keadaan serba salah, keliru dan terlalu terbeban,” katanya.

Dr Wong turut berkata tiada bukti dalam penulisan Zara yang menunjukkan wujudnya perancangan bunuh diri secara teratur sebelum kejadian itu.

Sebaliknya, beliau menyifatkan peristiwa pada 15 Julai sebagai satu krisis akut yang tercetus akibat penghinaan berulang, pengasingan dan konfrontasi secara berkumpulan sehingga menyebabkan Zara berada dalam keadaan putus asa dalam tempoh beberapa jam.

Dr Wong turut merujuk kepada perbualan terakhir yang didakwa berlaku sebelum kejadian membawa maut itu dengan berkata kata-kata pertama yang diucapkan Zara kepada seorang rakan pelajar ialah, “Saya mahu tukar sekolah.”

Beliau berkata, kenyataan itu menunjukkan Zara cuba melarikan diri daripada persekitaran sekolah selepas apa yang berlaku pada malam berkenaan dan masih mempunyai harapan untuk meneruskan persekolahannya di tempat lain.

“Ini adalah tindak balas klasik fight-or-flight. Dia mahu menjauhkan diri daripada persekitaran yang dirasakannya mengancam,” katanya.

Dr Wong turut memaklumkan bahawa Zara juga didakwa bertanya, “Macam mana rasanya kalau saya terjun?”

Dari sudut perubatan, beliau berkata kenyataan sedemikian perlu dinilai bersama-sama dengan tempoh masa serta tahap keseriusan peristiwa yang berlaku sebelum ia diucapkan.

Beliau berkata, konfrontasi pada 15 Julai merupakan “titik akhir yang mencetuskan segala-galanya” (the last straw) dan mempunyai hubungan masa yang sangat rapat dengan kejadian yang membawa kepada kematian Zara.

Menurutnya, kenyataan para saksi juga secara konsisten menunjukkan Zara menangis dan mengasingkan diri buat pertama kali selepas insiden tersebut.

LEAVE A RESPONSE