Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

KBSK anjur Festival Komuniti Havoc sempena Piala Dunia FIFA 2026

Read Time:2 Minute, 3 Second

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

TAWAU: Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif (KBSK) Sabah akan menganjurkan Festival Komuniti Havoc: Tayangan Skrin Besar Piala Dunia FIFA 2026 sebagai platform menyemarakkan semangat kesukanan, mengukuhkan perpaduan komuniti serta membuka peluang ekonomi kepada usahawan belia.

Menterinya, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, program bertemakan “Sorak Bersama KBSK Raikan Piala Dunia” itu diadakan bersempena kemeriahan Piala Dunia FIFA 2026 dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan Persekutuan Sabah.

Menurut beliau, festival berkenaan akan berlangsung di dua lokasi utama iaitu Arena Belia Tawau dan Kompleks Sukan Kota Kinabalu, Likas, membabitkan tiga tayangan langsung perlawanan penting kejohanan itu.

“Tayangan pertama membabitkan perlawanan pusingan 16 dijadualkan pada 8 Julai di Arena Belia Tawau, manakala tayangan perlawanan penentuan tempat ketiga pada 19 Julai dan perlawanan akhir pada 20 Julai akan berlangsung di Dewan Berbumbung Kompleks Sukan Kota Kinabalu.

“Inisiatif ini bukan sekadar memberi peluang kepada masyarakat menikmati suasana Piala Dunia secara bersama, malah menjadi medium menggalakkan penyertaan aktif belia dalam aktiviti sukan serta membuka ruang kepada usahawan belia menjana pendapatan,” katanya pada sidang media Festival Komuniti Havoc: Tayangan Skrin Besar Piala Dunia FIFA 2026 di Dewan Arena Tawau, hari ini.

Beliau berkata, festival di Tawau akan bermula pada petang 7 Julai sehingga tamat perlawanan pusingan 16 pada awal pagi 8 Julai dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk jamuan BBQ, gerai jualan usahawan, pertandingan domino, e-sukan FIFA, pertandingan freestyle dan juggling bola, kuiz interaktif, pertandingan teka skor, cabutan bertuah serta bicara santai bola sepak.

Sementara itu, Festival Komuniti Havoc di Kota Kinabalu pada 19 dan 20 Julai akan menampilkan lima zon utama iaitu Sport Experience Zone, Komuniti Hub Zone, Food Street Zone, Fan Experience Zone dan Hibok Community Zone.

Antara pengisian yang disediakan termasuk cabaran sepakan penalti, pertandingan functional fitness, pameran agensi dan usahawan, photo booth 360 darjah, persembahan busking, pertandingan freestyle juggling, jualan Rahmah, food truck, pertandingan e-sukan Mobile Legends dan PUBG Mobile, sesi bertemu pemain Sabah FC, podcast sukan, pertandingan teka gol serta tayangan langsung perlawanan penentuan tempat ketiga dan final Piala Dunia.

Nizam berkata, festival itu terbuka kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira usia, khususnya warga Tawau dan Kota Kinabalu.

“Kita mahu seramai mungkin hadir memeriahkan program ini. Lebih ramai pengunjung, lebih banyak peluang perniagaan dapat dinikmati oleh usahawan belia yang membuka gerai sepanjang festival berlangsung.

“Kami menjemput seluruh rakyat Sabah untuk bersama-sama merasai kemeriahan dan aura Piala Dunia seolah-olah berada di stadium di negara tuan rumah iaitu Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada,” katanya.

LEAVE A RESPONSE