Read Time:2 Minute, 24 Second
RANAU: Pelajar digesa memilih bidang pengajian yang mempunyai permintaan tinggi dalam pasaran pekerjaan, termasuk Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta kursus berasaskan kemahiran, bagi meningkatkan kebolehpasaran dan menjamin peluang kerjaya pada masa hadapan.
Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, pelajar perlu bijak menentukan hala tuju pendidikan dengan memilih bidang yang selari dengan keperluan industri dan mampu menjana pendapatan, bukannya sekadar memilih bidang yang mudah diikuti tetapi sukar memperoleh pekerjaan selepas menamatkan pengajian.
Menurutnya, institusi seperti politeknik dan kolej kemahiran kini menawarkan laluan kerjaya yang baik kerana bidang teknikal dan kemahiran semakin mendapat permintaan tinggi daripada pelbagai sektor industri.
“Bidang teknikal dan kemahiran bukan sahaja membuka peluang pekerjaan yang luas, malah menjadi asas untuk menceburi bidang keusahawanan serta membina perniagaan sendiri yang berpotensi menjana pendapatan lumayan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Anugerah Cemerlang Ke-20 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ranau, di sini, Khamis lalu.
Masidi turut mengingatkan golongan belia supaya tidak terlalu memilih pekerjaan, sebaliknya bersedia memulakan kerjaya dan merebut setiap peluang yang ada.
“Jangan malu memulakan sesuatu pekerjaan kerana setiap kejayaan bermula dengan kesungguhan, disiplin dan kerja keras. Dalam keadaan pasaran kerja yang semakin kompetitif, sikap rajin, berusaha serta sanggup memikul tanggungjawab adalah lebih penting daripada terlalu memilih jenis pekerjaan. Pengalaman yang diperoleh akan menjadi asas kepada kejayaan yang lebih besar pada masa hadapan,” katanya.
Beliau turut menggalakkan belia supaya berani merantau selepas menamatkan pengajian bagi menimba ilmu, pengalaman dan memperluaskan pendedahan dalam dunia pekerjaan.
Katanya, pengalaman bekerja di luar daerah, negeri atau negara mampu membentuk jati diri, meningkatkan kemahiran serta keyakinan diri, sekali gus membuka lebih banyak peluang untuk mencapai kejayaan pada masa hadapan.
Dalam pada itu, Masidi menyeru ibu bapa supaya memainkan peranan lebih aktif dalam pendidikan anak-anak dengan menghadiri program sekolah serta Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).
Menurutnya, kehadiran ibu bapa dalam setiap aktiviti sekolah bukan sahaja memberi sokongan moral kepada anak-anak, malah membolehkan mereka mengikuti perkembangan pembelajaran dan membantu menyelesaikan sebarang masalah lebih awal.
“Jika terdapat masalah kewangan atau perkara lain yang boleh menjejaskan pembelajaran anak, ibu bapa perlu memaklumkannya kepada pihak sekolah supaya penyelesaian dapat dicari bersama. Hubungan erat serta kerjasama yang baik antara ibu bapa dan pihak sekolah amat penting bagi memastikan kebajikan, perkembangan dan kecemerlangan akademik anak-anak sentiasa terpelihara,” katanya.
Masidi turut mengingatkan pelajar supaya sentiasa menghargai jasa ibu bapa serta mengekalkan nilai berdikari dan rajin bekerja yang menjadi budaya masyarakat Sabah.
Pada majlis itu, seramai 315 penerima terdiri daripada pelajar dan guru menerima pelbagai anugerah sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025 dan STPM Semester Satu.
Daripada jumlah itu, 15 pelajar SPM dan empat pelajar STPM menerima Anugerah Pelajar Cemerlang Terbaik, manakala Anugerah Panitia disampaikan kepada guru-guru sebagai penghargaan atas komitmen dan dedikasi mereka membimbing pelajar sehingga mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan.






