Read Time:2 Minute, 17 Second
Oleh Sitti Nor Azizah Talata
TAWAU: Masyarakat diseru memainkan peranan bersama dalam mewujudkan ruang digital yang lebih selamat, beretika dan bertanggungjawab selaras dengan usaha kerajaan memperkukuh keselamatan siber serta meningkatkan literasi digital dalam kalangan rakyat.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, penggunaan Internet kini menjadi sebahagian daripada kehidupan harian, namun masyarakat perlu sentiasa berwaspada terhadap ancaman seperti penipuan dalam talian, buli siber, penyebaran berita palsu dan penyamaran identiti.
“Saya berharap karnival ini bukan sekadar menjadi program sehari, tetapi menjadi titik permulaan kepada usaha berterusan membudayakan penggunaan internet yang selamat dalam setiap keluarga dan komuniti,” katanya ketika merasmikan Karnival Komuniti Kempen Internet Selamat Peringkat Daerah Tawau 2026 di Padang Kampung Batu Payung, di sini, hari ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata, statistik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sehingga Jun lalu menunjukkan sebanyak 3,875 aduan pengguna diterima di Pantai Timur Sabah, dengan 1,232 daripadanya melibatkan kandungan dalam talian, sekali gus menggambarkan keperluan memperkukuh kesedaran masyarakat mengenai keselamatan digital.
Dalam pada itu, Nizam turut menyambut baik pendekatan MCMC yang membawa Kempen Internet Selamat lebih dekat dengan masyarakat melalui penganjuran karnival komuniti, termasuk pelantikan Key Opinion Leaders (KOL) tempatan serta pembukaan pendaftaran Wira Internet Selamat.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau merakamkan penghargaan kepada MCMC atas tindakan pantas susulan aduannya berhubung masalah liputan internet di kawasan Batu Payung dan Tinagat pada Mei lalu.
Menurut beliau, sebaik sahaja aduan dikemukakan melalui sidang media dan perbualan telefon dengan pengarah berkenaan, MCMC segera menghantar pasukan teknikal bagi meninjau lokasi yang dikenal pasti.
“Alhamdulillah tindakan telah diambil dan keadaan di beberapa kawasan sudah menunjukkan peningkatan. Saya juga diberikan jaminan bahawa baki kawasan yang masih bermasalah sedang dalam proses penyelesaian dalam masa terdekat,” katanya.
Beliau berkata, antara isu utama yang dihadapi penduduk ialah telefon bimbit secara automatik bertukar kepada rangkaian telekomunikasi Indonesia kerana kedudukan Batu Payung yang berhampiran sempadan negara.
Katanya, masalah itu bukan sahaja menjejaskan komunikasi harian penduduk, malah boleh menyebabkan gangguan kepada urusan penting sekiranya tidak ditangani segera.
Sebelum ini, Nizam menggesa MCMC menyiasat serta mengambil tindakan segera terhadap masalah telekomunikasi yang membelenggu penduduk Batu Payung dan Tinagat selepas beliau sendiri mengalami gangguan talian ketika melalui kawasan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Tinagat.
Beliau kemudian meninjau sendiri keadaan menara telekomunikasi di Kampung Tinagat Batu 9 susulan aduan berterusan daripada penduduk setempat.
Mengulas mengenai keselamatan siber, Nizam berkata kerajaan turut memperkukuh perlindungan pengguna melalui penguatkuasaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) yang mula berkuat kuasa awal tahun ini bagi melindungi pengguna, khususnya kanak-kanak, remaja dan institusi keluarga daripada ancaman serta kandungan berbahaya.
Beliau menegaskan usaha mewujudkan ruang siber yang selamat memerlukan kerjasama semua pihak termasuk ibu bapa, pendidik dan komuniti, selaras dengan tema Kempen Internet Selamat, “Internet Selamat, Tanggungjawab Semua.”





