Read Time:1 Minute, 2 Second
PENAMPANG: Seorang pekerja binaan lelaki warga asing berusia 20 tahun maut selepas dipercayai terjatuh dari sebuah bangunan yang sedang dalam pembinaan di Jalan Bundusan, di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton, berkata pihaknya menerima satu laporan berhubung kejadian berkenaan.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 10.40 pagi ketika mangsa sedang menjalankan kerja pembinaan di aras 20 bangunan terbabit.
“Mangsa dipercayai terjatuh dari aras berkenaan ke aras bawah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pemeriksaan di lokasi kejadian dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang bersama pasukan Forensik D10, Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.
Katanya, mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu untuk bedah siasat bagi menentukan punca sebenar kematian.
“Kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR) sementara menunggu keputusan bedah siasat dan siasatan lanjut,” katanya.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan polis serta tidak menyebarkan gambar atau video berkaitan kejadian sebagai menghormati sensitiviti keluarga dan waris mangsa.
Sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Kes, SM Patrick Duffy Francis Dicka di talian 013-838 5335 atau IPD Penampang di talian 088-712 222.






