Read Time:1 Minute, 6 Second
Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Seorang pegawai Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dibebaskan oleh Mahkamah Khas Rasuah di sini, hari ini, atas enam pertuduhan rasuah membabitkan RM22,300.
Hakim Mahkamah Sesyen, Jason Juga melepaskan dan membebaskan Zainal Aliasan, 36, daripada semua pertuduhan tanpa perlu membela diri selepas memutuskan bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.
Zainal didakwa atas kesalahan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mengikut pertuduhan, Zainal merupakan Pegawai Pertanian Gred 41/44 yang bertugas sebagai pegawai RISDA daerah Keningau didakwa menerima wang tunai daripada seorang pemilik syarikat yang diketahui mempunyai urusan rasmi denganya di Pejabat RISDA.
Wang berjumlah antara RM2,050 hingga RM4,950 didakwa dimasukkan ke dalam beberapa akaun berbeza milik rakan tertuduh antara Mei hingga Julai 2020 bagi mempercepatkan urusan tuntutan pembayaran kepada syarikat tersebut.
Zainal didakwa atas kesalahan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Zainal yang digantung tugas susulan kes berkenaan diwakili peguam Azhier Farhan Arisan.
Pendakwaan dikendalikan oleh pegawai pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Dzulkarnain Rousan Hasbi.
Zainal mengaku tidak bersalah pada 20 Sept 2022, dan 16 saksi pendakwaan dipanggil sepanjang perbicaraan yang bermula pada Februari 2024.






