Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Ops Tiris 4.0 : Lebih satu tan barang kawalan dirampas di Kudat

Read Time:1 Minute, 37 Second

KUDAT : Lebih satu tan barang kawalan berjaya dirampas dalam satu operasi bersepadu Ops Tiris 4.0 yang dilaksanakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Kudat di sekitar perairan Pulau Sibogoh, Pulau Banggi, berhampiran sempadan negara, semalam.

Operasi yang dijalankan dengan kerjasama Pasukan Polis Marin Wilayah Empat Kudat itu adalah hasil risikan anggota penguat kuasa KPDN yang menyasarkan kawasan dikenal pasti sebagai ‘hotspot’  penyimpanan dan pengedaran barang kawalan secara tidak sah di kawasan perairan berisiko tinggi.

Dalam serbuan tersebut, pihak berkuasa menemui pelbagai barang kawalan disimpan di sebuah premis yang tidak dilesenkan membabitkan 432 kilogram gula kasar, 408 kilogram minyak masak paket bersubsidi (1 kilogram) dan 210 kilogram tepung gandum, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan sebanyak 1,050 kilogram atau 1.05 tan.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Daerah KPDN Cawangan Kudat, Nazatul Shima Karim berkata, seorang lelaki tempatan yang dipercayai menyimpan barang kawalan berkenaan telah ditahan bagi membantu siasatan sebelum dilepaskan dengan jaminan polis.

Beliau berkata, manakala kesemua barang kawalan terbabit disita untuk tindakan lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Menurutnya, operasi berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan menerusi Ops Tiris 4.0 bagi membanteras aktiviti penyelewengan dan penyeludupan barang kawalan, khususnya di kawasan sempadan negara.

“KPDN tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu atau sindiket yang cuba mengambil kesempatan terhadap subsidi kerajaan melalui aktiviti penyimpanan, pengedaran atau penjualan barang kawalan secara tidak sah.

“KPDN akan terus memperhebat operasi penguatkuasaan secara berterusan dan lebih agresif, terutama di kawasan yang dikenal pasti berisiko tinggi berlaku aktiviti penyeludupan serta penyelewengan barang kawalan,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pasukan Polis Marin Wilayah Empat Kudat atas kerjasama strategik yang diberikan sepanjang operasi, termasuk aspek keselamatan anggota, sokongan logistik dan bantuan di lapangan.

Dalam pada itu, beliau berkata, KPDN menggesa orang ramai terus memainkan peranan sebagai mata dan telinga pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyelewengan barang kawalan melalui saluran aduan rasmi KPDN.

LEAVE A RESPONSE