Read Time:1 Minute, 31 Second
SEMPORNA : Cubaan menyeludup minyak petrol bersubsidi ke negara jiran berjaya dipatahkan apabila sebanyak 2,425 liter petrol dirampas dalam satu operasi di kawasan laut Terumbu Pasalat berhadapan Pulau Igang-Igang, di sini, pada Khamis.
Rampasan itu dilakukan menerusi Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) hasil tindakan Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna sebelum kes berkenaan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Semporna untuk tindakan lanjut.
KPDN dalam satu kenyataan memaklumkan, minyak petrol berkenaan ditemui disimpan di dalam 97 jeriken dan dipercayai cuba dibawa keluar ke negara jiran menggunakan laluan laut.

Menurut kenyataan itu, turut dirampas sebuah bot kayu berwarna putih bersama sebuah enjin sangkut Yamaha 200 kuasa kuda yang dipercayai digunakan untuk kegiatan pengangkutan bahan api berkenaan.
“Nilai rampasan barang kawalan dianggarkan sebanyak RM9,869.75 manakala jumlah keseluruhan rampasan termasuk barangan bukan kawalan dianggarkan bernilai RM19,275,” menurut kenyataan itu di sini.
Katanya, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai rampasan tanpa tuan selepas tiada individu ditemui semasa operasi dijalankan di lokasi kejadian.
Susulan itu, satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi mengenal pasti pihak yang terlibat dalam kegiatan penyelewengan barang kawalan bersubsidi tersebut.
KPDN turut menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan terhadap barang kawalan bersubsidi sehingga menjejaskan kepentingan rakyat dan negara.
“Mana-mana individu yang didapati bersalah boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta bagi kesalahan pertama dan RM3 juta bagi kesalahan berikutnya atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
“Bagi syarikat pula, denda boleh mencecah RM2 juta bagi kesalahan pertama dan sehingga RM5 juta bagi kesalahan berikutnya,” katanya.
Dalam pada itu, KPDN menggesa orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyelewengan barang kawalan melalui WhatsApp 019-848 8000, Call Centre 1-800-886-800, e-mel [email protected] atau aplikasi Ez ADU KPDN.






